PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) pada Jumaat menegaskan bahawa universiti tertua negara itu tidak pernah berada dalam situasi krisis ilmuan dan kepakaran sepertimana yang didakwa oleh Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan juga yang dilaporkan oleh sebuah media tempatan kelmarin.
Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata, angka sebenar staf akademik yang meletak jawatan sejak 2009 hingga kini adalah hanya seramai 73 orang berbanding yang dilaporkan iaitu 146 orang.
Tegas beliau, dakwaan bahawa UM kini sedang berhadapan dengan krisis ilmuan sama sekali tidak benar apabila jumlah kemasukan staf akademik ke universiti itu adalah empat kali ganda berbanding staf yang keluar atas beberapa sebab.
"Angka tersebut adalah tidak benar. Sejak 2009 hingga 19 Ogos 2011 terdapat seramai 123 staf akademik meninggalkan perkhidmatan atas beberapa sebab.
"Daripada jumlah itu, 76 meletak jawatan, 43 bersara dan empat lagi meninggal dunia. Yang meletak jawatan pada tahun ini adalah seramai 15 orang," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori UM di sini, Jumaat.
Dedah beliau lagi, majoriti daripada 76 staf akademik yang meletak jawatan itu terdiri dikalangan tenaga pengajar daripada Fakulti Perubatan yang disifatkannya sebagai situasi biasa bagi fakulti berkenaan.
"Ini fenomena biasa bagi Fakulti Perubatan kerana kebanyakan daripada mereka pergi ke hospital biasa kerana tawaran (gaji) yang jauh lebih lumayan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai laporan muka depan sebuah akhbar pada Khamis bahawa UM sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuan dan pakar berikut peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 seperti yang didedahkan oleh PKAUM.
Malah PKAUM yang memetik Presidennya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom sebagai berkata, pada tahun ini sahaja kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ghauth.
Mengulas lanjut, Ghauth berkata, sejak 2009 hingga kini pentadbiran UM melantik seramai 463 staf akademik dengan 111 daripadanya berstatus tetap manakala 352 lagi menerusi lantikan kontrak.
"Jadi dakwaan yang mengatakan UM hadapi krisis ilmuan adalah tidak benar malah untuk makluman, semua staf yang masuk ke UM sekarang ini adalah memenuhi kriteria kualiti dan dengan itu mutu akademik yang masuk semakin meningkat berbanding dahulu," katanya. - Mstar
No comments:
Post a Comment