15 August 2011

Tipu: Penjaga letak kereta dipenjara, disebat

KUALA LUMPUR — Seorang penjaga tempat letak kereta dijatuhi hukuman penjara setahun lapan bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang buruh RM6,000 pada Februari tahun lepas.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd. Nasir menjatuhi hukuman itu terhadap Mustafa Kamal Hassim, 35, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah hari ini terhadap tuduhan menipu A.M. Sushila, 49, dengan memperdayakannya bahawa dia boleh membantu membebaskan anak lelaki wanita itu bernama J. Tygarajan, 24, dari Penjara Sungai Buloh sehingga mendorong Sushila menyerahkan RM6,000 kepadanya.

Bapa kepada dua orang anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di Blok B-11-15, PPR Taman Mulia, Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, Cheras pada satu tarikh antara Februari dan Mac 2010.


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

No comments:

Post a Comment