22 August 2011

Tidak libatkan Ricoh Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Peneraju penyediaan proses penyelesaian pejabat, Ricoh kini giat mengambil pekerja yang berkemahiran dalam Teknologi Maklumat (IT) di Malaysia kerana negara ini dijangka tidak terjejas oleh pengurangan pekerja kumpulan itu seluruh dunia.

Pengeluar peralatan pejabat Jepun itu mengumumkan rancangan untuk mengurangkan tenaga kerja global sebanyak kira-kira 10,000 orang bagi mengurangkan kos.

Keputusan itu diumumkan pada bulan Mei tahun ini. Ini kerana bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun awal Mac tahun ini telah memusnahkan beberapa kemudahan Ricoh.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran Ricoh Malaysia, Lim Choon Weng berkata, perniagaan bagaimanapun telah berkembang dalam pasaran baharu muncul seperti Malaysia di mana ia telah mengalami pertumbuhan dua digit tahun atas tahun.

"Kami sedang meningkatkan rangkaian produk mewah di Malaysia," kata Choon Weng.

Produk baharu itu juga akan diperkenalkan di Malaysia pada akhir November, katanya.

"Produk ini akan dikategorikan di bawah sektor komunikasi imej visual dan akan menambah kepada rangkaian produk sedia ada Ricoh seperti pencetak pelbagai fungsi, pencetak, kamera dan juga perkhidmatan IT," kata beliau.

Mengenai kemungkinan mewujudkan tapak pengeluaran di Malaysia, beliau berkata buat masa ini tiada rancangan seumpama itu lagi.

Beliau berkata, Ricoh Malaysia milik Ricoh Asia Pacific Group yang memberi tumpuan kepada rancangan pertumbuhan tempoh sederhana dan kemungkinan pengambilan alih bagi mencapai potensi di rantau ini.

Ditanya mengenai penangguhan operasi pembuatan ekoran gempa bumi di Jepun, beliau berkata ia telah menjejaskan anak syarikat Ricoh bukan sahaja di Malaysia tetapi juga kesemua anak syarikat yang lain.

Sementara gempa bumi dan tsunami serta gegaran besar selepas itu telah memaksa kilang Tohoku Ricoh untuk menghentikan operasi buat sementara waktu tetapi kini, kilang-kilang itu telah menyambung semula operasi, kata Choon Weng.

"Berita baiknya, kesemua talian pengeluaran di keempat-empat kemudahan di kawasan yang terjejas dengan rasminya telah memulakan kembali operasi pada 10 Mei," kata beliau.

Selain daripada produk baharu, fokus utama Ricoh Malaysia tahun ini ialah terhadap Tanggungjawab Sosial Korporatnya, terutama komitmennya kepada program baik pulih habitat dengan Persatuan Alam Sekitar Malaysia dan Taman Alam Sekitar Kuala Selangor.

Beliau berkata, kempen itu dengan pelaburan permulaan RM200,000 boleh berlanjutan sehingga 10 tahun.

"Kempen itu penting untuk kita membantu mewujudkan kesedaran dan menghantar mesej kepada orang ramai akan kepentingan paya bakau kepada ekonomi kita, keselamatan, kehidupan dan sebagai pertahanan kepada bencana alam seperti tsunami," kata beliau.

Pada 1 Julai, Ricoh Malaysia melancarkan jualan tiga bulan di mana pelanggan boleh menjadi sebahagian daripada kempen CSR apabila mereka membeli sebarang produk Ricoh yang mana sebahagian daripada jualan akan disalurkan kepada usaha pemuliharaannya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment