KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal pada hari pengundian bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan dengan telus dan adil selepas dibatalkan penggunaannya pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu akan mengkaji dengan terperinci cadangan berkenaan sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem plihan raya sedia ada.
"Kita memang akan pertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal secara serius. Kalaulah itu (dakwat kekal) yang paling baik dan selamat... kita boleh guna.
"Tapi pelbagai aspek perlu diambil perhatian sebelum kita benar-benar mahu melaksanakan penggunaannya bagi mengelakkan sebarang pertikaian dibuat," katanya pada sesi taklimat dan soal jawab bersama media mengenai sistem pilihan raya Malaysia dan tuntutan Bersih 2.0 di Wisma Bernama, di sini, Khamis.
Isu penggunakan dakwat kekal merupakan salah satu daripada lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Pada PRU-12, SPR mengumumkan untuk menggunakan dakwat kekal buat pertama kali pada hari pengundian bagi meningkatkan sehingga "ke tahap 100 peratus" keyakinan rakyat terhadap ketelusan suruhanjaya itu dalam melaksanakan proses demokrasi di negara ini.
Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan beberapa hari sebelum pengundian atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, pada masa yang sama SPR juga tidak menolak kemungkinan untuk turut menggunakan sistem biometrik seperti yang dicadangkan suruhanjaya itu baru-baru ini bagi mengelakkan pertikaian mengenai dakwaan wujudnya 'pengundi hantu'.
Menurut beliau, penggunakan sitem biometrik yang dilihat lebih terkini dan selamat boleh mengelakkan pertikaian kerana bacaan cap jari pada setiap individu adalah berbeza.
"Ada kemungkinan juga kita gunakan kedua-duanya sekali (dakwat kekal dan biometrik). Ini bagi membuktikan ketelusan SPR untuk memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.
"Kalau terpaksa guna dua-dua kita akan pertimbangkan. Sekiranya ia terjadi, maka ia sudah pasti dapat puaskan hati semua pihak," katanya.
Namun beliau mengakui penggunaan kedua-dua kaedah berkenaan akan meningkatkan kos pengendalian pilihan raya.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata kajian yang menyeluruh perlu dibuat terutama dari segi perundangan.
Jelasnya, pihaknya perlu mendapatkan nasihat daripada pihak pejabat Peguam Negara sama ada penggunaan dakwat kekal perlu dijadikan undang-undang yang diwajibkan atau hanya sebagai pilihan kepada pengundi.
"Aspek perundangan perlu jelas sebab kita tak mahu nanti ada pengundi yang datang mengundi tapi tidak mahu jari atau kuku mereka dicalit atau dicelup dengan dakwat atas pelbagai alasan.
"Sebab itu kalau kita putuskan untuk menggunakan dakwat kekal, ia perlu dijadikan sebagai undang-undang," katanya. - Mstar
No comments:
Post a Comment