JOHOR BAHRU 20 Ogos - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil sikap berdiam diri dalam isu desakan supaya Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon meletak jawatan kerana tidak mahu 'terperangkap' dalam kempen pihak tertentu.
Menurutnya, isu seperti itu biasanya timbul setiap kali Naib Canselor di sesebuah universiti akan menamatkan perkhidmatan atau disambung kontrak.
"Bila tempoh Naib Canselor akan habis, akan berlaku hiruk-pikuk dalam universiti. Ramai yang akan ambil peluang untuk mempengaruhi keputusan sama ada melantik (Naib Canselor) yang baru atau menyambung kontrak (Naib Canselor sedia ada).
"Itu sebab saya diam kerana tidak mahu terperangkap dengan kempen-kempen ini," katanya.
Beliau diminta mengulas desakan supaya Ghauth meletak jawatan dan pentadbiran UM dirombak berikutan pendedahan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) Rabu lalu yang mendakwa 146 staf akademiknya meletakkan jawatan sejak 2009 kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.
Mohamed Khaled ditemui selepas majlis penyerahan borang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Raya Seri Alam, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, pelbagai isu yang timbul semasa tempoh seseorang Naib Canselor akan tamat perkhidmatan biasanya akan senyap semula selepas pelantikan yang baru atau kontrak disambung.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak universiti supaya mengurangkan permainan politik dalaman seperti yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengenai tindakan Ghauth mengambil staff dari luar negara, beliau berkata, langkah itu merupakan satu transformasi bagi meningkatkan pencapaian akademik UM.
"Kepimpinan Ghauth dipertikai bukan kerana tidak layak atau gagal, berlaku kepincangan atau penyelewengan tetapi kerana tindakannya untuk meningkatkan pencapaian akademiknya," katanya sambil meminta semua universiti melakukan transformasi bagi meningkatkan pencapaian masing-masing.
Mohamed Khaled turut menjelaskan, jumlah staf UM yang meletak jawatan hanya 76 orang, bukannya 146 orang seperti yang didakwa PKAUM. - Utusan
* Timbalan dia lebih layak jadi Menteri...
No comments:
Post a Comment