SHAH ALAM 19 Ogos - Polis percaya telah menyelesaikan kes penemuan mayat seorang wanita dan kanak-kanak yang dikerat-kerat dan dibuang dalam mangkuk tandas di Taman Kosas, Ampang dekat sini awal bulan lalu, dengan tertangkapnya 11 lelaki warga asing baru-baru ini.
Kesemua suspek iaitu 10 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang mengaku sebagai suami mangsa kini sedang direman bagi membantu siasatan sehingga Isnin ini.
Turut ditemui dua bilah pisau, dua biji pasu bunga dan dua batang pengelap lantai, dipercayai bahan bukti yang boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan kejam itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya kini menunggu pengesahan daripada pihak hospital bagi melengkapkan laporan siasatan kes.
"Sehingga kini kita masih belum dapat mengesahkan motif kejadian dan persoalan lain seperti sama ada kanak-kanak lelaki itu anak kepada mangsa dan sekiranya lelaki Indonesia tersebut adalah suaminya.
"Selepas laporan hospital dan pihak Jabatan Kimia diserahkan barulah segala persoalan itu dapat dijawab dan kita akan beritahu media.
"Saya juga ingin membetulkan fakta yang lelaki mengaku suami mangsa bukan merupakan warga tempatan atau orang Sabah sebaliknya Indonesia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Adnan, kesemua lelaki Bangladesh yang ditahan menetap di pangsapuri tempat mayat mangsa ditemui sementara butir mengenai lelaki Indonesia itu masih belum boleh didedahkan.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas. - Utusan
No comments:
Post a Comment