SEREMBAN — Kegiatan mencuri kereta dari pusat servis di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lepas berjaya dipatahkan polis dengan penangkapan seorang lelaki di Sikamat, di sini semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, lelaki berusia sekitar 40an itu ditangkap 6.15 pagi semalam selepas mencuri sebuah kereta dari pusat servis di bandar ini kelmarin.
"Kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lepas, sebuah kereta yang dihantar di sebuah pusat servis di bandar ini telah dicuri oleh suspek yang berlagak seolah-olah kereta itu miliknya sebelum melarikan kereta tersebut.
"Polis yang mendapat maklumat terus menjejaki kereta jenis BMW yang dicuri dan berjaya mengesannya kira-kira sejam setengah kemudian di kawasan deretan kedai di Sikamat,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Polis kemudian bertindak mengepung kereta terbabit dan berjaya menangkap suspek.
"Modus operandi suspek ialah mencuri kenderaan di pusat servis dan bengkel membaiki kenderaan. Dalam kes ini suspek menaiki sebuah kereta yang dicuri tapi ditinggalkan di pusat servis dan mengambil keluar (melarikan) kereta BMW milik penduduk tempatan,” katanya.
Osman berkata, dengan penangkapan lelaki itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kenderaan di bandar ini.
Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek yang melakukan kegiatan itu seorang diri turut aktif di Selangor dan Kuala Lumpur.— Bernama
No comments:
Post a Comment