23 August 2011

Mangsa asid kini ada selera makan

KUALA LUMPUR - Mangsa simbah asid, Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, dijangka akan mula menjalani siri pembedahan bagi membuang sel-sel yang mati di mukanya dalam masa terdekat.

Abangnya, Mohd. Jefry Abdul Latiff, 35, berkata, adiknya itu akan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun doktor masih belum menetapkan tarikh yang sesuai.

"Apa yang HKL maklumkan kepada kami sekeluarga, pembedahan itu mungkin akan dijalankan pada minggu ini atau pada minggu depan.

"Walaupun masih sakit-sakit, Mohd. Rafi kini sudah boleh makan, minum dan berbual-bual dengan kami seperti biasa," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Dia berkata demikian mengulas keadaan adiknya di HKL selepas menjadi mangsa kejadian simbah asid pada 8 Ogos lalu.

Pada kejadian pada pukul 1.10 pagi itu, Mohd. Rafi dikatakan sedang menunggu rakannya di dalam kereta di berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut di sini sebelum didatangi oleh seorang suspek yang menyimbah sejenis cecair menyebabkan pemuda itu melecur teruk di muka, kedua-dua belah tangan selain mata kanannya kabur.

Ketika kejadian, mangsa baru sahaja selesai membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran, HKL.

Ketika ditanya mengenai keadaan adiknya itu, Mohd. Jefry memberitahu, selain sudah mahu makan, keadaan adiknya itu semakin stabil.

Kelmarin, media melaporkan seorang pemuda yang ditahan berhubung kes simbah asid itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 25 tahun itu merupakan kenalan kepada Mohd. Rafi dan penahanan itu bagi membolehkan polis menjalankan penyiasatan. - Kosmo

No comments:

Post a Comment