28 August 2011

Lokasi maut: Perak paling bahaya


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perak merupakan negeri paling berbahaya kepada pengguna jalan raya di Malaysia apabila mencatatkan jumlah lokasi maut atau kawasan berisiko berlaku terbanyak iaitu 35 atau 37.6 peratus daripada 93 laluan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Ini diikuti Negeri Sembilan yang mempunyai 23 lokasi (24.7 peratus), Johor 15 lokasi (16.1 peratus), Kelantan sembilan lokasi (9.7 peratus), Kedah dan Selangor masing-masing tiga lokasi (3.2 peratus) serta Pahang, dua lokasi (2.3 peratus).

Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis masing-masing mencatatkan satu lokasi (1.1 peratus).

Berbanding jumlah 93 lokasi maut tersebut yang dikenal pasti oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengenal pasti lebih banyak daripada itu, iaitu 160 lokasi.

Perbezaan ini berikutan polis trafik mengenal pasti lokasi secara lebih terperinci, termasuk berdasarkan jumlah kemalangan yang berlaku di satu-satu kawasan setiap kali Ops Sikap diadakan.

Jika diperincikan mengikut jumlah kematian akibat kemalangan, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 992 kes sepanjang tahun lalu dan diikuti oleh Selangor dengan 990 kes.

Berdasarkan statistik, 2,584 kematian telah dicatatkan dalam Ops Sikap dari tahun 2006 sehingga Februari lalu dengan penunggang motosikal paling ramai iaitu 1,563 kematian atau 60.5 peratus.

Kajian pihak berkuasa mendapati, jumlah kemalangan bukan disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya semata-mata, tetapi jumlah penduduk serta kenderaan turut mempengaruhi.

Antara faktor lain yang turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan di lokasi ‘blackspot’ atau lokasi maut ini ialah tiada penghadang jalan, garisan jalan pudar, kawasan gelap dan ketiadaan lampu isyarat di persimpangan utama.

Kajian juga menunjukkan penggunaan pengangkutan awam 70 peratus lebih selamat berbanding kenderaan persendirian.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr. Safry Kamal Ahmad memberitahu Mingguan Malaysia, kemalangan sering berlaku di negeri itu disebabkan jaringan jalan rayanya telah mencapai tahap ‘tepu’.

“Ini disebabkan ia tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk dan kenderaan yang meningkat,” katanya yang dihubungi, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof pula berkata, jumlah 160 lokasi maut dalam senarai pihaknya itu telah dikenal pasti sempena Ops Sikap ke-24.

“Perbezaan dengan jumlah lokasi dikeluarkan oleh JPJ berlaku kerana polis mengambil langkah lebih terperinci dalam menentukan lokasi-lokasi maut di seluruh negara.

“Ketika musim perayaan, rondaan lebih kerap dilakukan di semua 160 lokasi selain pusat-pusat maklumat di kawasan strategik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah beliau, pendekatan menyeluruh dan ‘menyentuh kalbu’ dalam memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah juga akan dititikberatkan. - Utusan

* Bukti Umno gagal urus takbir negara dengan baik...

No comments:

Post a Comment