23 August 2011

Liyana beraya di Australia


DALAM kebanyakan daripada kita mula berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman menyambut kehadiran Syawal yang bakal tiba lebih kurang seminggu lagi, lain pula ceritanya dengan aktres muda Liyana Jasmay.

Buat pertama kalinya, Liyana bersama 14 ahli keluarganya akan berangkat ke Australia untuk menyambut kehadiran Syawal di negara Kanggaru itu.

Jelas Liyana, perancangan berhari raya di luar negara itu tercetus apabila mereka sekeluarga mencari waktu yang sesuai untuk pergi bercuti bersama.

“Mulanya kami merancang untuk ke Australia pada tahun lalu, tetapi disebabkan pada waktu itu kakak ipar saya baru sahaja melahirkan anak, kami terpaksa membatalkan perancangan itu.

“Mana mungkin kami meninggalkannya di sini dan berseronok bercuti ke luar negara. Keluarga saya jenis yang kalau bercuti pasti semuanya mesti ada.

“Jadi sekarang ini, anak buah saya itu pun sudah besar sedikit dan boleh menaiki kapal terbang, kami sepakat untuk berhari raya di Australia.

“Bila lagi mahu beraya di tempat orang yang sudah tentu lain adat dan budayanya,” Jelas Liyana ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Restoran Ikan Sungai, minggu lalu.

Dalam majlis itu, seramai 30 orang anak-anak yatim dari Rumah Rabeka, Hulu Klang diraikan oleh Liyana dan keluarganya.

Bukan sahaja meraikan, malah Liyana sempat bersama dengan anak-anak yatim berkenaan bermain berbunga api.

Keriangan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim tersebut apabila mereka dapat bersama dengan idola mereka dalam menanti kehadiran Syawal yang bakal menjelma.

Menyambung bicara berkenaan destinasi rayanya itu, jelas Liyana, mereka sekeluarga akan bertolak pada petang hari raya pertama nanti.

“Penerbangan kami pada pukul 6 petang, jadi sempatlah kami menyambut hari raya di sini. Seperti biasa pada pagi Syawal nanti kami akan menunaikan solat sunat Aidilfitri terlebih dahulu.

“Selepas itu kami mengunjungi saudara-mara terdekat sebelum bertolak ke lapangan terbang pada sebelah petang,” jelasnya yang kini sedang sibuk menyiapkan projek tahun akhir pengajiannya dalam Seni Persembahan dan Media, di Kolej Universiti Sunway.

Bagaimanapun, bicara Liyana lagi, bagi mengelakkan dia dan keluarga merindui rendang dan ketupat sepanjang berada di Australia, mereka akan membawa bekal.

“Kami memang merancang untuk membawa makanan tradisi itu ke sana tetapi memandang Australia tidak membenarkan membawa masuk makanan ke sana, cukuplah juadah hari raya itu menjadi bekalan sepanjang penerbangan ke Australia,” jelas Liyana.

Menurut Liyana, dia bersama keluarganya akan berada di Sydney selama 10 hari sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

“Namun ada juga perancangan adik-beradik yang lain untuk melawat Melbourne, tetapi ia tidak melibatkan kami semua.

“Seandainya mereka ke sana, saya akan tinggal dengan ibu dan ayah di Sydney kerana saya tidak selesa dengan cuaca di Melbourne yang terlalu sejuk dan hujan,” cerita Liyana yang tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya untuk beraya di Australia.

Baginya, pengalaman pertama berhari raya di perantauan itu sudah pasti akan menjadi kenangan terindah buat dirinya dan keluarga.

“Bagaimana rasanya beraya jauh dari negara sendiri, tentu lain rasanya dan sudah pasti itu akan menjadi kenangan yang sukar untuk saya dan keluarga melupakannya.

“Namun untuk mengekalkan mood raya, saya akan membawa baju-baju raya saya untuk dipakai ketika berada di Australia,” jelasnya.

- Utusan

No comments:

Post a Comment