26 August 2011

Lebih 8,000 Orang Daftar Aplikasi 'My Distress' Polis Selangor

SHAH ALAM: Lebih 8,000 orang telah memohon dan mendaftarkan aplikasi isyarat jenayah di telefon pintar, "My Distress" yang dilancarkan Polis Selangor bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan polis semasa kecemasan.

Deputi Supritendan (DSP) Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, Ketua Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kontinjen Selangor, berkata sambutan menggalakkan yang diterima menunjukkan ramai kagum dengan aplikasi yang dilancarkan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada Rabu lepas.

"Sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 8,305 orang, kebanyakannya dari Selangor telah mendaftar dengan aplikasi 'My Distress'," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Melalui aplikasi "My Distress" menerusi telefon pintar, orang ramai boleh menghantar isyarat kecemasan dengan menekan butang ikon pada telefon pintar.

Isyarat itu dihantar terus ke Bilik Gerakan di ibu pejabat polis Selangor dan lapan balai polis daerah di negeri itu.

'My Distress' dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan.

Mohamed Mokhsein berkata polis banyak menerima pertanyaan daripada orang ramai di luar Selangor memohon aplikasi itu diperluaskan ke negeri lain.

Beliau berkata orang ramai perlu berhenti menguji keberkesanan aplikasi berkenaan dengan menghantar isyarat masalah remeh dan sebaliknya menggunakan aplikasi dengan bijak semasa situasi cemas dan yang mengancam nyawa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment