28 August 2011

Kenyataan Mat Sabu kurang ajar

PUTRAJAYA 27 Ogos - Bekas tentera di negara ini menyelar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong dan menyifatkan kenyataannya sebagai biadab dan kurang ajar

Ketua Penerangan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Jurit Ramli yang amat terkejut dengan kenyataan Mohamad Sabu itu menegaskan, ia jelas satu penghinaan besar terhadap seluruh bekas anggota pasukan keselamatan negara serta keluarga arwah yang terkorban melawan komunis pada era darurat.

Serentak itu, bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam pasukan Malbatt Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyeru semua bekas tentera dan polis bersatu untuk 'menyerang hendap' Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

"Jika dia (Mohamad Sabu) sekali kurang ajar, kita (bekas tentera) akan lebih 10 kali kurang ajar terhadap dia.

"Kita pasti janjikan 'serang hendap' terhadap Mohamad Sabu dan Pas pada PRU13 jika Mohamad Sabu tidak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh bekas tentera dan keluarga arwah-arwah yang terkorban menentang komunis.

"Kita nak tengok semasa PRU13 itu sama ada Mohamad Sabu hendak dapatkan bantuan komunis ke atau tidak.

"Kita harap dia faham mesej keras kita ini, tapi yang jelas Mohamad Sabu ni memang tak tahu bersyukur dan mengenang budi... bekas tentera sungguh terluka dan sedih dengan kenyataan tidak berperikemanusiaan ini," katanya yang juga Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM) kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 300,000 bekas tentera di negara ini manakala di sebelah pasukan polis seramai 150,000 orang.

Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, menganggap pengganas komunis dalam Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri ketika serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya itu, Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana kedua-dua tokoh itu pegawai British.

Mohd. Jurit berkata, sepatutnya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, Mohamad Sabu menyedekahkan Fatihah kepada arwah-arwah anggota tentera yang terkorban melawan komunis dan menjaga keselamatan negara.

"Ini tidak, melalut tak tentu arah...kita harapkan Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dapat memberikan tazkirah kepada Mohamad Sabu...ramai tentera dan bekas tentera marah dengan kenyataan yang tidak disangka-sangka ini," katanya. - Utusan

* Serang hendap guna bom 'undi pos'...

No comments:

Post a Comment