22 August 2011

Juruteknik atm dipenjara kerana curi wang

KANGAR — Seorang juruteknik mesin ATM sebuah syarikat keselamatan dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri wang milik Bank Muamalat.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhi hukuman itu selepas Nasrul Norzairi Abdul Latif, 30, yang tidak diwakili peguam dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Nasrul Norzairi mencuri wang tunai sebanyak RM191,050 milik Bank Muamalat dalam ruang simpanan peti ATM di pondok pengawal keselamatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampung Wai dekat sini antara 7 pagi 12 Ogos dan 1.50 petang 15 Ogos lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Nasrul Norzairi, berasal dari Langkawi, menangis ketika merayu dikenakan hukuman yang ringanan dengan alasan dia mempunyai tanggungan berat kerana isteri tidak bekerja dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun di samping menjaga ibu yang tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohd Sabri pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang lain manakala nilai wang yang dicuri itu adalah besar.

"OKT (orang kena tuduh) sepatutnya memegang amanah dan tidak sewenang-wenangnya mencuri wang,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment