31 August 2011

Jurukamera RTM meninggal selepas koma

KUALA LUMPUR – Seorang jurukamera RTM meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini semalam selepas berada dalam koma hampir seminggu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 24 Ogos lalu.

Seorang jurucakap polis trafik Selangor ketika dihubungi semalam mengesahkan Mohd Hanif Ngiring, 29, mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian yang berlaku di sebuah kawasan di Subang.

"Allahyarham ketika kejadian sedang menunggang motosikalnya dan terbabas di satu selekoh pada petang 24 Ogos itu. Akibat kejadian itu, mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 4.20 pagi semalam,” katanya.

Tinjauan di laman sosialnya mendapati, terdapat ratusan ucapan takziah di atas pemergiannya dan difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Turut ditemui, komen yang menyebut Allahyarham telah menimang cahaya mata sulung (perempuan) pada 27 Ogos ketika Allahyarham tidak sedarkan diri. – Bernama

No comments:

Post a Comment