21 August 2011

Dua warga asing dihukum gantung sampai mati kerana edar dadah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang warganegara Thailand dan Indonesia selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 222,028 gram tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu terhadap warga Indonesia Effendi, 25, dan warga Thailand, Sakri Yadam, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 17 Januari 2008 kira-kira jam 12.30 tengah malam di 4.4 batu nautika dari pantai Kuala Kedah pada kedudukan 06 darjah 06.06 Utara, 100 darjah 12.45 Timur dalam daerah Kota Setar di sini. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud, manakala kedua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Dhillon.

Zakiah berkata, dalam kes itu pihak pendakwaan memanggil 11 saksi, manakala keterangan kedua-dua tertuduh semasa pembelaan adalah rekaan dan penafian semata-mata.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pendawai elektrik, M Vijay Kumar, 32, turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar 223.82 gram dadah (211.62 heroin dan 12.20 monoacetylmorphines) dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Vijay Kumar selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos 2009 jam 9.05 malam di hadapan Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, Sungai Petani.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim manakala Vijay Kumar diwakili peguam RSN Rayer. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment