13 August 2011

Dana Belia 1Malaysia galak kreativiti golongan muda

KUALA LUMPUR: Golongan belia yang mempunyai idea kreatif bagi menganjurkan sebarang projek demi kebaikan masyarakat setempat tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan kekangan kewangan, kini berpeluang merealisasikan impian itu menerusi Dana Belia 1Malaysia.

Geran bernilai RM20 juta yang dibiayai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu terbuka kepada semua belia berusia 15 hingga 40 tahun sama ada individu, persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asalkan mereka dapat menampilkan idea bernas dan kreatif selaras dengan Gagasan 1Malaysia untuk memupuk perpaduan selain bermanfaat kepada masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, penubuhan dana itu membuka ruang kreativiti seluas-luasnya di kalangan belia dan idea berkenaan bukan untuk kepentingan diri tetapi memberi kesan positif kepada masyarakat.


Ia bukan satu bentuk pinjaman dan mereka yang berminat boleh mengemukakan cadangan kepada panel penilai 1MDB. Jika ia bernas dan selaras dengan matlamat yang digariskan, mereka boleh mendapat geran itu berdasarkan jumlah bersesuaian.
Mereka boleh kemukakan apa saja cadangan, sama ada mahu membuat drama, dokumentari, membantu orang miskin atau mengajar anak Orang Asli bahasa Inggeris. Kita akan sediakan dana yang diperlukan supaya impian mereka tercapai, katanya dalam ucapan perasmian Dana Belia 1Malaysia, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Perdana Menteri berkata, pendekatan pertama kali diperkenalkan itu mampu memperkasakan golongan belia dan mungkin pelbagai idea tidak dijangka terhasil tetapi memberi kesan positif.

Kita amat memahami naluri belia dan memberi ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk berfikir apa yang terbaik kepada komuniti.

Satu program realiti dengan kerjasama Media Prima dan stesen radio juga akan diadakan bagi mencari belia dengan idea kreatif. Mereka hanya perlu yakinkan juri bahawa idea mereka itu berguna kepada masyarakat setempat dan kita akan memberi dana, katanya. Sementara itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada belia yang hadir pada majlis itu.

Menjawab soalan mengenai bagaimana pihak 1MDB mahu mengukur kejayaan individu yang memperoleh dana terbabit, Najib berkata, idea asal penubuhan dana itu ialah untuk menyokong golongan muda yang mempunyai cita-cita membantu masyarakat setempat mereka.

Tidak ada pengukur untuk sesebuah kejayaan itu, kita memberikan dana dan mereka perlu secara berterusan memastikan impian itu membuahkan hasil serta memberi manfaat kepada masyarakat, katanya.

Mengenai kebimbangan seorang belia yang mengaitkan bantuan itu dengan dana Tekun, Perdana Menteri berkata, ia berbeza kerana Tekun mempunyai hubung kait perniagaan serta perlu dibayar balik namun Dana Belia 1Malaysia adalah geran untuk menggalakkan kreativiti golongan muda.

Perdana Menteri juga berkata, bagi kumpulan pertama yang berjaya mendapatkan dana itu, ia akan diluluskan dalam tempoh empat hingga enam minggu dan seterusnya dibuat secara berperingkat.

Mereka inginkan maklumat lanjutkan Dana Belia 1Malaysia boleh melayari laman web http://www.1mdb.com.my/danabelia.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment