29 August 2011

Anak Sosilawati akhiri zaman bujang


BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung kepada pengasas dan jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, bakal mengakhiri zaman bujangnya selepas dikatakan memohon restu untuk berkahwin kepada keluarga terdekatnya, di sini, baru-baru ini.

Berita mengenai Erni atau lebih dikenali dengan panggilan Rita yang bakal mendirikan rumah tangga itu mulai hangat diperkatakan masyarakat setempat berikutan bakal suaminya itu adalah pegawai kanan sebuah kementerian serta aktif dalam kancah politik negara, selain turut berasal dari daerah ini. Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom itu menyatakan hasrat berkenaan kepada keluarga terdekatnya sewaktu pulang ke kampung, baru-baru ini. "Beliau (Rita) sudah meminta restu daripada sanak keluarga terdekatnya mengenai perkara berkenaan (perkahwinan) dan menyatakan mungkin ini adalah jodoh terbaiknya serta waktu yang sesuai untuk beliau memulakan hidup berkeluarga.

"Namun, Rita tidak menyatakan pula secara terperinci mengenai perancangan perkahwinannya termasuk tarikhnya...tetapi yang pasti ini adalah berita yang amat menggembirakan keluarga berkenaan selepas apa yang mereka tempoh sejak setahun lalu," katanya.

Perkhabaran terbaru ini sekali gus menutup segala spekulasi berhubung jejaka yang sering dikaitkan dengan Rita sebelum ini, walaupun dia menyangkal perkara itu.

Sementara itu, Rita dan lima adik beradiknya akan pulang menyambut Aidilfitri di kampung arwah ibu mereka di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, dekat sini dan meneruskan tradisi dilakukan jutawan kosmetik berkenaan yang akan menganjurkan rumah terbuka kepada penduduk setempat.
Ibu saudaranya, Rosnani Lawiya, 47, berkata rumah terbuka yang akan diadakan di rumah nenek Rita, Yatmah Abdul Rahman, 81, akan dianjurkan secara lebih sederhana termasuk mengadakan tahlil - Berita Harian

No comments:

Post a Comment