Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
24 August 2011
21 kanak-kanak, remaja diselamat
JOHOR BAHRU 23 Ogos - Seramai 21 kanak-kanak dan remaja berusia antara dua hingga 17 tahun dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya di sini, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang, semua mangsa termasuk dua penjaga bawah umur masing-masing berusia 16 dan 17 tahun sedang nyenyak tidur secara berhimpit-himpit di premis di Jalan Teratai yang dijadikan pusat jagaan sejak enam bulan lalu.
Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat pihak polis bahawa terdapat unsur pengabaian kanak-kanak di tempat itu berikutan tertangkapnya penjaga premis berkenaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini.
"Hasil pemeriksaan di premis itu mendapati, pusat jagaan tersebut tidak berdaftar dengan JKM. Malah, keadaan dalam rumah berkenaan juga tidak selesa dan tidak sesuai dijadikan pusat jagaan kanak-kanak," katanya ketika ditemui di sini.
Utusan Malaysia difahamkan, mangsa terbabit juga ada kemungkinan digunakan sebagai sindiket mengemis di sekitar negeri ini yang beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
Khatijah berkata, siasatan awal mendapati, penjaga pusat itu bukan hanya mempunyai satu pusat penjagaan sahaja, malah mempunyai beberapa premis seumpama itu termasuk tempat penjagaan orang tua di tempat lain dan tidak berdaftar dengan JKM.
Beliau berkata, hasil serbuan di premis itu, pihaknya turut menemui sejumlah sijil kelahiran kanak-kanak dan remaja yang berketurunan India tetapi belum dapat dipastikan status warganegara mereka.
Menurutnya, sijil kelahiran mangsa juga diragui kerana didaftarkan pada tarikh yang sama dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan sama ada ia palsu atau sebaliknya.
"Kita membawa balik semua mangsa untuk ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak di Jalan Petrie sementara siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1994," katanya sambil memberitahu operasi susulan sedang giat dijalankan. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment