Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
05 June 2011
Sebak lihat mayat anak
MACHANG: Pilu hati seorang bapa apabila melihat dari awal hingga akhir bagaimana anaknya terbabit kemalangan jalan raya sebelum mengangkat jenazah anaknya keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mengorbankan tiga sepupu termasuk dua beradik, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 46.8 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Norhasmalinda Halim, 24, dan dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd Saari, 14, dan Nor Azura Mohd Saari, 18, yang juga adik-beradik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan badan.
Kejadian berlaku ketika Norhasmalinda dan dua sepupunya dalam perjalanan dari Bandar baru Gua Musang, ke majlis kenduri kahwin seorang sepupu di Kampung Aur, Bachok.
Difahamkan, kereta Wira dipandu Norhasmalinda bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Rexton yang datang dari arah Kota Bharu.
Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 43, berkata dia dan anaknya bertolak kira-kira jam 7.30 pagi dari Bandar Baru Gua Musang dan berkonvoi dua kereta ke majlis perkahwinan sepupu mereka di Kampung Aur, Bachok.
Katanya, dia menaiki sebuah kereta Mercedes bersama isteri, Mariah Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya, manakala Noshasmalinda memandu sebuah lagi kereta bersama dua sepupunya.
“Ketika kira-kira lima kilometer lagi ke simpang Machang, saya melihat cermin belakang dan nampak anak saya terbabit kemalangan. Saya berada di depan selang tiga kereta.
“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata dan saya berpatah balik untuk melihat keadaan anak tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum saya mengangkatnya keluar dari kereta.
“Saya turut melihat dua anak saudara saya tidak lagi bernyawa tersepit di dalam kereta,” katanya yang turut memberitahu dua anak saudaranya tidur di rumahnya di Gua Musang sempena cuti sekolah dan mahu dihantar pulang dalam perjalanan berkenaan.
Menurut Halim, dia tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangis melihat sekujur tubuh anaknya.
“Setiap yang hidup pasti akan mati. Justeru, saya reda dengan pemergian anak.
“Cuma, saya terkilan kerana anak sepatutnya habis pengajian dalam jurusan Diploma Elektronik Industri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim, Kedah selepas tamat amali di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Lundang, kota Bharu, 9 Jun ini,” katanya.
Halim berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya bersikap seperti biasa.
Bagi adik Norhasmalinda, Nor Ashikin Akmel Halim, 21, kakaknya dilihat lebih gemar mendiamkan diri sejak kebelakangan ini sebelum maut dalam kemalangan.
Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi, Bachok, selepas Isyak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Che Malik Bedot ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan. - Mymetro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment