01 June 2011

Pemuda PAS, Umno boleh saing tanpa politik fitnah

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Pemuda PAS dan Umno boleh bersaing di pentas politik tempatan, yang kelihatan ‘panas’ sejak tiga tahun lalu, secara sihat tanpa perlu menggunakan fitnah sebagai senjata menjatuhkan antara satu sama lain.
Sehubungan itu kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan, pihaknya mahu satu penyertaan dalam pilihan raya secara adil dan telus dengan membekalkan peluang dan ruang yang sama rata.

“Kemukakan polisi untuk meyakinkan rakyat dalm mencari sokongan jangan kemukakan polis untuk memaksa dan mendesak rakyat menyokong kita,” kata beliau dalam nota rumusan hasil Wacana Fitnah Ancaman Umat Akhir Zaman di Shah Alam semalam.

“Insya-Allah, semoga budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita semua sebati dengan tindakan berasaskan hujah dan fakta bukan fitnah dan tohmah.

“Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang benar. Sejurus bukti dikemukakan, pihak berwajib bertindaklah sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan dan kepentingan pihak tertentu,” kata beliau lagi.

Selain Nasrudin, anggota panel wacana itu terdiri daripada Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin dan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Nasrudin menyifatkan ia sebagai US$ yang menarik dan menjadi lembaran baru dalam perkembangan intelektual yang mempertemukan pemimpin dari dua parti yang berlainan ideologi, biar hanya di peringkat pemuda.

Kedua-dua Nasrudin dan Khairy penggal pertama mengetuai sayap masing-masing. Nasrudin telah menang bertanding tanpa cabaran dan akan melangkah ke penggal kedua esok secara rasmi.

Mengambil kira hasil perbincangan itu, kata Nasrudin, ia menjadi permulaan yang baik dan positif untuk terus menyuburkan budaya intelektual di negara ini.

“Sekitar tajuk yang diwacanakan hari ini (semalam), semua pihak bersetuju agar fitnah diperangi, fitnah ditolak dan fitnah tidak wajar disuburkan dalam sosial, ekonomi dan politik tanah air kita.

“Kita mahu menuju ke alam politik yang matang dan dewasa pemikiran para politikusnya. Politik yang telus dan tulus. Politik yang berakhlak dan beradab. Politik hujah dan fakta bukan politik lucah dan fitnah, politik jijik dan keji,” jelas beliau.

Kata Nasrudin, jika kesemua pihak tidak mengira PAS atau Umno menjauhi politik kotor dan cemar ini, insya-Allah negara akan lahir sebagai sebuah negara sejahtera dan harmoni serta rakyatnya bestari dan damai.

“Iklim politik baru yang diharapkan ini tidak akan tercapai hanya dengan satu pihak bertindak, sebaliknya semua pihak termasuk NGO mestilah akur dan tunduk kepada prinsip politik yang berasas kehendak pencipta iaitu Allah Azza wa Jalla,” katanya.

Tambah beliau, “sebijak mana kita, parti mana yang kita wakili dan seramai mana pengaruh kita, sekali-kali kita tidak berhak untuk mengetepikan landasan syariat untuk kita menggerakkan agenda politik kita.”

“Tergelincir dari landasan wahyu Allah itulah meletakkan kita dalam jerangkap fitnah yang tidak berkesudahan,” katanya lagi.

“Insya-Allah bagi pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanah air ini dengan membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza wa Jalla.

“Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah, maka demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita,” katanya lagi.

Pun begitu kata beliau, ia tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanah air.

“Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah dilaksanakan asal sahaja ia bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia bukan fitnah malah ia adalah satu kewajipan,” katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment