03 June 2011

'Pelacur' dirantai, conteng: NGO hak asasi berang


Operasi mencegah maksiat di Pulau Pinang malam semalam menimbulkan kontroversi apabila beberapa kumpulan hak asasi mempertikaikan cara pihak polis menggari kira-kira 30 wanita asing dengan rantai dan membuat contengan di muka, dada dan tangan mereka.

Wanita asing itu ditahan di sebuah kelab malam di sebuah pusat membeli-belah di Pulau Tikus kerana disyaki melacurkan diri.

Dalam serbuan itu, lapan rakyat tempatan dan 30 wanita asing - 29 dari China dan seorang dari Vietnam ditangkap oleh 19 anggota polis dari Bukit Aman.

Menurut akhbar berbahasa Cina, serbuan dijalankan selepas pihak polis mengintip dan memerhatikan kegiatan kumpulan itu selama seminggu di kelab berkenaan yang dikatakan amat popular di kalangan penduduk tempatan.

Akhbar Cina juga memaparkan gambar-gambar wanita yang dirantai dalam kumpulan itu dan kemudiannya mereka ditandakan dengan pelbagai simbol, termasuk X di dahi seorang daripada wanita itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Andrew Khoo membidas polis kerana tidak mematuhi piawaian prosedur operasi polis (SOP) dan pada masa yang sama mencabuli hak asasi manusia.

“Kita tidak boleh menandakan mereka secara fizikal... kita boleh tahan mereka tetapi mereka tidak boleh ditanda seperti itu,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Tenaganita Irene Fernandez pula melahirkan rasa terkejut berhubung gambar wanita dirantai dan ditanda.

Katanya tidak adil bagi mengandaikan semua mereka itu bersalah.

“Saya sangsi ini prosedur yang biasa dan jika ia adalah prosedurnya maka polis mesti mendedahkannya. Mesti dijalankan siasatan berhubung perkara ini dan polis mesti jelaskan mengapa mereka bertindak sedemikian.

“Mereka mungkin mangsa pemerdagangan manusia... jika ini benar mereka adalah mangsa,” katanya.

Peguam bagi 'Lawyers for Liberty's Faidah Nadwa Fikri berkata tindakan merantai dan menanda wanita itu sebagai 'luarbiasa dan tidak berperi-kemanusiaan'.

Tegasnya wanita itu cuma adalah suspek dan belum didapati bersalah atas sebarang jenayah lagi.

“Ini masalah budaya kita, masalah kerana kita tidak memahami apa itu peraturan undang-undang.

“Saya lihat apabila seseorang ditangkap dan dibawa ke mahkamah, sesetengah mereka juga tidak memakai selipar... ini menunjukkan betapa buruk pihak berkuasa melayan mereka dan ini adalah isu kemanusiaan,” katanya. - Malaysiakini

* Pelacur mana ada maruah...

No comments:

Post a Comment