Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
05 June 2011
Mak nyah ‘golongan yang dikasihi’ - Jakim
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memecahkan tembok prejudis yang selama ini mengaitkan para pemimpin agama dalam menangani isu penerimaan masyarakat terhadap mak nyah apabila mempelopori inisatif membimbing golongan itu ke jalan benar.
Jika selama ini penguatkuasa jabatan agama Islam di peringkat negeri sibuk ‘mengejar’ mak nyah untuk tangkapan atas jenayah memperdagangkan seks, kini agensi sama tetap menjejaki golongan tersebut tetapi demi membuka laluan kepada mereka untuk membina kehidupan baru.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai menjelaskan, tindakan drastik bukan lagi penyelesaian terbaik untuk menangani isu mak nyah, sebaliknya pendekatan alternatif yang lebih terbuka harus diambil bagi membantu mereka.
“Mak nyah juga takut dengan jabatan agama. Selama ini mereka dikecam dan dijejaki kerana stereotaip negatif bahawa ‘ini golongan songsang yang dilaknati’. Kami tidak begitu. Jakim menggelarkan mak nyah sebagai ‘golongan yang dikasihi’,” katanya kepada Mingguan mStar pada Program Mukhayyam Bersama Golongan Mak Nyah Siri II di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Program selama empat hari berakhir Jumaat lalu itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAC), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kementerian Kesihatan, MARA, Dagang Halal dan Drug Intervention Community (DIC) Pahang melibatkan 30 mak nyah.
Ia merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan di Jelebu, Negeri Sembilan pada Mac lepas dalam usaha membantu golongan mak nyah membina semangat baru untuk membina masa depan positif dari aspek peluang pekerjaan, bimbingan kerohanian, penerimaan masyarakat dan mengawal penularan HIV/AIDS di kalangan transgender dan transvestit.
Halangan 'high rope' menggerunkan tetapi berjaya diharungi semua peserta.
Jelas Zakuan, pihaknya menerima sejumlah peruntukan daripada Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan kempen kesedaran HIV di kalangan umat Islam. Program Mukhayyam, katanya, merupakan sebahagian kempen tersebut dan kini menjadi contoh modul terbaik untuk mendekati golongan sasar yang boleh dikatakan paling terpinggir daripada lapisan sosial.
Zakuan mendedahkan, bukan hanya pemimpin agama malah pihak media dan majikan masih diselubungi prejudis terhadap mak nyah sehingga menyukarkan golongan itu keluar dari dunia ‘tradisi’ gelap mereka untuk mencari rezeki atau pendapatan lumayan bagi menampung gaya hidup mereka.
“Kita mesti buka mata, ramai maknyah sudah berjaya walaupun fizikal mereka tidak berubah 100 peratus menjadi lelaki. Jangan paksa mereka berubah secara fizikal. Itu tidak penting. Yang penting mereka tidak buat kerja hina, kenapa perlu hina mereka?
“Yang masih menjadi pekerja seks di lorong-lorong hanyalah minoriti yang terdesak apabila dibuang oleh keluarga dan masyarakat,” tegas beliau yang kekal berhubung dengan para peserta Mukhayyam bagi memantau perkembangan mereka.
Zakuan menjelaskan, selain manual panduan HIV & Islam (inisatif bersama Kementerian Kesihatan, Jakim dan MAC), pihaknya turut melaksanakan modul latihan khusus fasilitator bagi mengubah corak pemikiran generasi lama dan baru dalam melaksanakan pendekatan outreach di kalangan maknyah yang merupakan pekerja seks serta penghidap HIV.
Walaupun tidak berhenti mengomel, kesemua peserta tidak mahu ketinggalan melakukan cabaran.
Pendekatan ekstrem berbentuk keagamaan, jelasnya, sukar dijamin keberkesanan malah meluaskan lagi jurang antara pendakwah dan golongan sasar yang sudah lama dilupakan masyarakat malah terpinggir dari kasih sayang keluarga dan perhatian umum.
“Oleh itu kami berhubung rapat dengan mak nyah di peringkat negeri. Mak nyah yang sudah berubah dan berjaya menjadi inspirasi kepada generasi yang masih sesat di lorong-lorong gelap.
“Mak nyah ‘veteran’ ini bukan sahaja meyakinkan mereka agar keluar dari kancah itu tetapi menyedarkan ‘adik-adik’ agar kembali kepada keluarga dan memohon restu keluarga sebelum berjaya ‘membersihkan’ diri dari seks rambang dan dadah serta mengecapi impian dalam bidang kecenderungan masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak tanpa mengira agensi kerajaan, pusat khidmat pelanggan mahupun majikan swasta agar mengikis stigma berkaitan maknyah dalam usaha mengurangkan diskriminasi yang selama ini memaksa mereka memilih kegelapan berbanding sinar dalam mencorak kehidupan mereka. - Mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment