Penampilan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai seorang daripada pemidato semasa pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia malam tadi dibatalkan.
Menurut Harakahdaily, difahamkan pembatalan itu dibuat oleh pihak penganjur setelah “mendapat tekanan” daripada Pejabat Perdana Menteri.
"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.
"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi," kata salah seorang petugas yang tidak mahu identitinya diumumkan.
Pihak penganjur juga menutup nama Mohamad dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang dijemput sebagai mewakili BN pada backdrop di pentas.
Mohamad yang dihubungi Harakahdaily juga mengesahkan pembatalan itu.
"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.
"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato malam ini.
"Saya rasa dipermainkan," katanya dengan nada kecewa.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada perasmian LL4G, malam semalam, Najib berkata Malaysia akan meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memastikan keselamatan flotilla kemanusiaan yang bakal berlepas ke Gaza pada minggu depan.
MP PAS juga sertai Freedom Flotilla
Perdana Menteri berkata beliau akan menulis kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon untuk melantik wakil bagi memeriksa dan mengesahkan flotilla kemanusiaan itu yang disertai lebih 600 pertubuhan bukan kerajaan dari 20 negara itu tidak membawa sebarang senjata, dan semata-mata membawa bantuan kemanusiaan.
Malaysia juga meminta PBB supaya memastikan keselamatan kapal-kapal flotilla kemanusiaan tersebut semasa ia berada di perairan antarabangsa.
Seramai 10 orang rakyat Malaysia, termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kali kedua ke Gaza yang dikenali sebagai "International Freedom Flotilla II".
Selain Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin, rombongan kali ini akan disertai Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Pengerusi AMAN Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid, anggota parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad (kiri), dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan.
Turut sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islamiah al Ehsan Ismail Darus, Wartawan Astro Awani Nazri Kahar serta jurukamera Astro Awani, Wan Yusani Amir.
Najib berkata permohonan yang kerajaan Malaysia kemukakan kepada PBB adalah berasaskan permohonan yang diterima dari LL4G yang didapati wajar dibantu oleh kerajaan.
"Kita tidak hendak 10 wira kita ini dilakukan sebarang penganiayaan terhadap mereka," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Noorazman meminta kerajaan supaya mengemukakan dua cadangan kepada PBB bagi mengelak berulangnya tragedi ke atas "Freedom Flotilla" pada 31 Mei tahun lepas di mana enam buah kapal daripada flotilla itu diserang oleh tentera Israel di perairan antarbangsa.
Ketika tragedi itu, "Freedom Flotilla" anjuran Gerakan Pembebasan Gaza (FGM) dan Yayasan bagi Hak Asasi Manusia Turki sedang membawa bantuan kemanusiaan dan bahan binaan.
Misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan "Pertahankan Kemanusiaan" (Stay Human) dan akan disertai 13 buah kapal antarabangsa -- 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.
Misi itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan, turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan halangan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.
Noorazman berkata, sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk serangan daripada tentera laut Israel, pihaknya akan memulakan latihan bermula esok, termasuk latihan kecemasan ketika berada di air, berhadapan dengan komando Israel dan tekanan mental.
Beliau berkata mereka akan membawa alat pendidikan, makanan, ubat-ubatan serta barang-barang binaan. - Malaysiakini
* Mana contoh persaudaraan Islam, jika benar Umno mendokong nilai-nilai Islam...
No comments:
Post a Comment