KANGAR – Pengantin lelaki yang kecewa setelah majlis pernikahannya dibatalkan oleh pasangannya dengan sekadar menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak akan melupakan detik hitam dalam hidupnya itu begitu sahaja walaupun selepas keluarga pihak perempuan menghantar wakil memohon maaf malam kelmarin.
Menurut pengantin itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 37, keluarga pihak perempuan menghantar empat lelaki termasuk dua abang ipar ke rumahnya di sini kira-kira pukul 8.30 malam untuk meminta maaf ekoran majlis tersebut dibatalkan.
Katanya, pihak keluarga perempuan ingin masalah tersebut selesai dan memohon agar isu tersebut tidak dipanjangkan lagi terutama mereka bimbang dengan tindakan saman yang akan diambil oleh Aizat.
“Walaupun sudah termakan hati, saya memaafkan pihak perempuan itu, namun tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Ini soal maruah, saya tetap akan bawa kes ini ke mahkamah,’’ tegasnya ketika dihubungi di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan mengenai impian jurujual kereta itu untuk berkahwin dengan gadis pilihannya berkecai selepas tunangnya itu membatalkan majlis pernikahan mereka melalui satu kiriman SMS.
Lebih melukakan hati lelaki itu, SMS tersebut dihantar cuma 11 jam sebelum majlis pernikahan mereka dilangsungkan di sebuah masjid di Simpang Empat di sini pukul 10 pagi kelmarin. - Kosmo
No comments:
Post a Comment