23 May 2011

Tanah runtuh: Polis siasat tragedi, nafi madrasah amal ajaran sesat


KUALA LUMPUR, 23 Mei – Polis telah mengambil keterangan beberapa saksi dan pemilik Rumah Anak-anak Yatim dan Madrasah Hidayah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini berhubung tragedi tanah runtuh kelmarin yang mengorbankan 16 nyawa.

Keterangan diambil daripada pelbagai pihak bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca tragedi.

“Kita akan lihat sekiranya wujud kecuaian dan kelalaian dari mana-mana pihak sehingga berlakunya kejadian ini,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah selepas melawat mangsa terselamat di Hospital Ampang hari ini.

Enam mangsa yang terselamat dalam insiden itu kini ditempatkan di wad khas hospital itu manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi.

Dipetik laporan Bernama Online, Tun Hisan berkata, fokus siasatan akan tertumpu kepada status tanah berkenaan yang dikatakan tanah pertanian dan untuk mengesahkan sama ada pembinaan rumah di tanah itu mendapat kebenaran ataupun tidak.

Beliau berkata, polis sedang berbincang dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan agensi-agensi lain bagi mencari punca yang mengakibatkan tanah runtuh itu.

Rumah itu telah dibina lebih 10 tahun lepas dan ia merupakan tapak pertanian dan bendang.

Mengenai khabar angin kononnya rumah anak yatim itu (gambar) ada mengamalkan ajaran sesat, Tun Hisan berkata khabar angin itu tidak betul.

Satu lagi laporan Bernama Online menyebut bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) percaya hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh.

Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Datuk Ir Ashaari Mohamad berkata, berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis lalu, diikuti 41mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80mm pada hari kejadian.

“Jumlah hujan yang turun pada hari kejadian adalah luar biasa sebab jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter. Apabila hujan turun dan meresap ke dalam tanah ia telah menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya.

Ashaari berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke kawasan dan puncak cerun berhampiran tanah runtuh itu, terdapat lurah laluan air yang menuju ke kawasan runtuhan.

Selain itu, pokok-pokok yang ditebang di sekitar kawasan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi laluan air apabila hujan.

“Tanah-tanah masih bergerak dan kalau ada hujan boleh menyebabkan tanah runtuh dan kita kategorikan kawasan ini sebagai tidak selamat,” katanya.

Berdasarkan maklumat diterima, beliau berkata, kedudukan antara cerun yang berketinggian 25 hingga 30 meter dengan bangunan rumah anak yatim itu juga terlalu hampir iaitu sekitar tujuh meter atau 25 kaki.

“Kita menganggarkan sejumlah 3,500 isipadu tanah atau bersamaan 600 buah lori, tanah yang runtuh dan menimpa rumah anak yatim berkenaan dengan ketinggian runtuhan empat meter dan lebar 54 meter,” katanya.

Ashaari berkata, cerun di kawasan rumah anak-anak yatim juga telah dipotong dan itu menyebabkan berlaku ketidakstabilan pada keadaan tanah.

“Jadi hari ini kami nak teliti balik keadaan tanah dan melihat bagaimana kami boleh baiki semula struktur tanah ini. Kami juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan mengawasi keadaan sekitar kawasan perumahan di kawasan ini kerana mereka juga terdedah kepada risiko sama,” katanya.

Dalam pada itu, RM217,000 sumbangan disalurkan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor kepada 53 waris dan mangsa tragedi tanah runtuh itu dan rumah kebajikan berkenaan.

Setiap waris kepada 16 mangsa yang terkorban menerima RM5,000 setiap seorang manakala mangsa yang terselamat menerima sumbangan berjumlah RM1,000, sementara rumah anak yatim itu mendapat sumbangan RM100,000.

Selain itu kerajaan Selangor turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap waris. - Mymetro

No comments:

Post a Comment