21 May 2011

Tanah runtuh: Operasi diteruskan dalam hujan lebat, kata IGP

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga semua mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat, ditemui.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika ditemu bual menerusi Astro Awani berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

“Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sampai semua mangsa ditemui walaupun hari telah malam dan keadaan hujan,” katanya dalam laporan Bernama Online.

Ismail turut meminta orang ramai supaya menjauhi tempat kejadian tanah runtuh bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada petugas menyelamat menjalankan tugas dengan lancar.

“Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan.


Lagi mangsa dibawa ke Hospital Ampang.“Oleh itu, kita minta supaya orang ramai yang berdekatan dan yang ingin datang melihat, menjauhkan diri dari kawasan kejadian,” kata beliau.

“Kita bimbang perkara-perkara yang tidak diingini yang lain pula berlaku,” katanya.

Mengenai status rumah anak yatim berkenaan, Ismail berkata pihaknya buat masa ini menumpukan kepada operasi menyelamat terlebih dahulu dan perkara mengenai status rumah anak yatim berkenaan akan disiasat kemudian.


Dalam pada itu, laporan Harian Metro menyebut, kerja memasang khemah bagi mendirikan bilik gerakan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat pelbagai jabatan.

Katanya, Unit K-9 Polis Diraja Malaysia turut diletakkan berjaga-jaga di tempat kejadian jika keadaan memerlukan khidmat anjing pengesan untuk mencari mangsa yang masih tertimbus.

Polis juga menempatkan sebuah balai polis bergerak manakala terdapat sekurang-kurangnya enam jentera bomba turut diletakkan di sekitar tapak kejadian.

Pihak berkuasa mewujudkan zon merah iaitu kawasan larangan awam bagi mengelakkan orang ramai mendekati tapak kejadian yang dikhuatiri boleh runtuh lagi pada bila-bila masa. - TMI

No comments:

Post a Comment