GERIK: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat perlu bersedia menanggung sebahagian kos subsidi yang kini ditanggung kerajaan sekiranya jumlah yang sedia ada meningkat ke paras yang lebih tinggi dan melampaui kemampuan kerajaan.
Beliau berkata kerajaan mempunyai tahap keupayaan untuk menanggung jumlah subsidi yang meningkat, bagaimanapun jika meningkatan harga minyak dunia melonjak ke paras yang lebih tinggi, berkemungkinan kerajaan tidak mampu lagi menanggung jumlah subsidi yang begitu besar dan rakyat perlu bersedia untuk menanggung sebahagian kos itu.
"Alhamdulillah, saya mendapat banyak respon menyatakan kerajaan prihatin kerana jika (harga bahan api) dinaikkan maka bebannya ditanggung rakyat, tetapi dengan sebab itu (mengekalkan harga sedia ada) juga kerajaan terbeban dengan jumlah subsidi yang ditanggung iaitu daripada RM10 bilion naik sampai RM18 bilion dan mungkin menjangkau sehingga sampai RM20 bilion," katanya ketikaberucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Umno Bahagian Gerik di DewanSerbaguna di sini Ahad.
Beliau berkata langkah kerajaan untuk mengekalkan harga diesel, LPG dan petrol RON95 pada harga sedia ada ternyata menunjukkan kerajaan pimpinan BarisanNasional (BN) sangat prihatin dengan beban rakyat namun keputusan itu juga menyebabkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan juga bertambah.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga berkata isu kenaikan harga minyak dan barangan menjadi isu utama di kalangan rakyat berbanding beberapa isu lain, sedangkan penjelasan bahawa fenomena itu turut dialami oleh negara lain seperti di Eropah, Jepun, China dan Singapura sukar diterima rakyat.
Beliau berkata bagaimanapun kerajaan akan menangani masalah itu dengan cara terbaik dan meminta kerjasama semua pemimpin parti komponen BN di setiap peringkat secara bersama-sama menangani isu berkenaan yang turut dimanipulasikan pembangkang.
Pada 25 Mei lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) kekal buat masa ini selepas Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga produk berkenaan setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan secara mendalam dan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut meminta semua pimpinan Umno dan BN di setiap peringkat memberi perhatian dan meneliti semua masalah yang dihadapi oleh rakyat walaupun ia merupakan isu yang kecil.
Beliau berkata ini kerana bukan semua masalah dan isu yang dihadapi rakyat seperti kebajikan dan bantuan memerlukan peruntukan yang besar untuk diselesaikan.
"Saya sebutkan ini kerana apabila sampai pilihan raya, isu dan masalah sebegini akan timbul apabila kita (BN) tidak berikan perhatian dan kita dilihat mengabaikan tanggungjawab... jadi saya meminta supaya isu dan masalah walau sekecil manapun, setiap peringkat tempatan, bahagian dan cawangan perlu diambil langkah yang perlu oleh pimpinan wakil rakyat, Pergerakan Wanita dan Pemuda serta Puteri," katanya. Katanya sekiranya semua isu dan masalah telah diambil tindakan maka apabila tiba pilihan raya, Umno dan BN sudah yakin dan bersedia untuk menghadapinya.
Muhyiddin juga berkata pilihan raya umum akan datang merupakan pilihan raya yang paling getir dan sengit, oleh yang demikian semua anggota dan pimpinan Umno serta BN perlu berfikiran strategik untuk memenangi pilihan raya itu.
Ini kerana pihak pembangkang pasti akan 'bermati-matian" serta tidak akanmenyerah kalah untuk mengekalkan kuasa politik mereka di negeri-negeri yangtelah dikuasai, katanya.
"Bila saya berkata sedemikian, ada yang berkata kepada saya, ini menunjukkanseolah-olah Umno lemah dan tidak kuat.
"Saya nak beritahu awal-awal lebih baik kita berfikiran bahawa kita akan berhadapan dengan senario yang sukar dan mencabar, dan oleh sebab itu kita perlu berfikiran strategik, menggunakan pendekatan berkesan dan hasilnya dilihat dengan memenangi pilihan raya yang dicapai di peringkat nasional dan negeri," katanya.- BERNAMA
* Malaysia pengeluar minyak. Kenaikan harga minyak memberi keuntungan yang besar buat Malaysia. Adakah Umno tidak tahu memerintah? Jika begitu rakyat perlu memberi peluang kepada Pakatan Rakyat...
No comments:
Post a Comment