19 May 2011

Raja Azmi Menangis Gara-Gara Kes Tangguh


KUALA LUMPUR: Penerbit filem …Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman menitiskan air mata gara-gara keputusan sama ada dia melakukan khalwat atau tidak dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim ditangguhkan pada 20 Jun depan.

Dia agak kecewa apabila dimaklumkan pegawai yang mengendalikan kes berkenaan bercuti ketika hadir di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, Khamis.

Raja Azmi yang hadir bersama suaminya Jailani Sidek yang bertindak sebagai saksi dan Roslin bimbang jika keputusan itu masih tertangguh, ia akan menimbulkan banyak keaiban melibatkan ramai pihak.

“Saya teruja untuk mengetahui keputusan pada hari ini (Khamis) kerana saya yakin (tidak berkhalwat) dan saya tahu Allah akan berpihak kepada orang yang teraniaya seperti saya. Saya sangat sedih dan betapa seksa dianiaya sebegini.

“Saya harap dapat bebas daripada prasangka buruk masyarakat dan fitnah ini tetapi akhirnya saya masih dirundung dengan bebanan,” ujarnya lagi yang tidak dapat menahan sebaknya.

Raja Azmi juga terlalu berharap untuk menyelesaikan kes berkenaan seberapa segera untuk memudahkan dia mengambil tindakan dengan menyaman beberapa pihak termasuk bekas isteri Roslin iaitu Norhayati Othman (Yati).

“Saya rasa teraniaya selagi pihak Jawi tidak mengeluarkan surat hitam putih yang mengatakan kami tidak berkhalwat kerana perkara ini akan menimbulkan pelbagai prasangka orang ramai terhadap saya dan Roslin,” kata Raja Azmi.

Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh Norhayati bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira pukul 8.30 malam.

Norhayati membuat laporan kepada pihak Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat.

Pada 20 Ogos tahun yang sama, Raja Azmi ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah bernilai RM5.9 juta. - Mstar

No comments:

Post a Comment