17 May 2011

Najib: Pengebom berani mati bukannya syuhada, tidak wakili Islam

OXFORD, 17 Mei — Datuk Seri Najib Razak menggesa masyarakat dunia untuk mengamalkan kesederhanaan sebagai cara terbaik untuk bertindak dan untuk maju ke hadapan.

Perdana Menteri menegaskan kesederhanaan bukan konsep yang asing kepada manusia dan juga bukan bersifat teori semata-mata.

Ketika menyampaikan syarahan di Sheldonian Theatre, Universiti Oxford di sini, Najib berkata, kesederhanaan boleh membantu mencipta masa depan lebih baik sepertimana dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin pada tamadun-tamadun terdahulu.

“Jurang sebenar bukanlah di antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun atau malahan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Ia antara golongan sederhana dan ekstremis daripada semua agama,” katanya dipetik laporan Bernama.

Syarahan beliau bertajuk “Kesederhanaan dan Persefahaman Antara Tamadun”.

Memberikan contoh sikap sederhana yang diamalkan pada awal ketamadunan Islam, Barat dan pemimpin terkemuka seperti Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela, Najib berkata, prinsip kesederhanaan bukannya baru dalam Islam dan turut ditekankan dalam agama kristian dan agama lain.

“Sebenarnya tidak wujud apa yang dikatakan sebagai Islam liberal atau ekstremis Islam, Islam konservatif atau Islam makrifat, jihad Islam atau Islam ihsan, Islam moden atau Islam pertengahan.

“Hanya Islam, cara hidup yang sempurna. Bersikap sederhana tidak boleh dianggap sebagai bacul, tidak berprinsip, lemah atau ihsan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kepelbagaian, dialog dan kewujudan bersama secara aman merupakan tema penting dalam Islam.

“Dalam kitab suci Quran, Allah SWT berfirman bahawa Dia mencipta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan sebagai suatu rahmat agar mereka boleh berkenal-kenalan dan memanfaatkan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan mereka,” katanya.

Najib berkata mereka yang memasang bahan letupan di badan mereka dan meletupkan diri mereka bukannya tergolong sebagai syuhada dan tidak mewakili Islam.

Beliau berkata dunia bebas daripada keganasan bukanlah sesuatu yang mustahil tetapi ia memerlukan mereka yang menganjurkan sifat sederhana; menuntut agar tidak ada lagi menjadi golongan majoriti yang hanya berdiam diri, tetapi mula mempamerkan keberanian dan keyakinan dalam menunaikan tanggungjawab.

“Kita perlu menangani perkara yang menjadi punca berlakunya keganasan global dan mampu untuk membezakan antara gejala dan punca utama yang menyebabkannya berlaku. Melalui cara ini sajalah, kita akan dapat mencapai penyelesaian berkekalan.”

Laporan itu juga memetik Perdana Menteri sebagai berkata, tanggungjawab untuk menyuarakan penyelesaian bukan hanya mengenai Muslim tetapi juga daripada agama dan kepercayaan lain.

Terdapat satu keperluan untuk mendengar suara ramai daripada kesederhanaan di semua negara dan daripada semua lapisan masyarakat, tegas Najib.

Beliau menggesa, mereka yang menghargai kesederhanaan untuk memastikan kekecewaan, biar di mana jua ia dirasai, diberi perhatian dan setiap pandangan yang disuarakan, didengari.

“Itu sebabnya kita semua berhimpun di sini petang ini (semalam) untuk memupuk, bukannya menyaksikan pertembungan ketamadunan tapi untuk

mengukuhkan persefahaman, dan mungkin sehingga menyanjung perbezaan antara kita, dan pada masa yang sama, segalanya yang kita kongsi bersama.

“Kemodenan dan kesederhanaan perlu bergerak seiring. Dialog kita mesti diteruskan,” kata Perdana Menteri.

Najib juga menghuraikan dengan panjang lebar dan mengaitkan pengalaman Malaysia dalam menguruskan kepelbagaian dan kemajmukkan, yang menyaksikan Malaysia memutuskan untuk mengetengahkan integrasi, dan bukannya asimilasi.

“Rakyat Malaysia menerima kepelbagaian mereka. Kami bukan semata-mata bertoleransi antara satu sama lain, tapi juga menghargai dan menyanjung. Dengan meningkatkan kekuatan dan dinamis kepelbagaian ini, kita dan mewujudkan satu asas untuk katahanan nasional,” katanya.

Beliau berkata di Malaysia, Islam itu disamakan dengan kemodenan, inklusif, dan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata masalah Timur Tengah yang tidak selesai dan penderitaan rakyat Palestin menghantui kesedaran global sejak sekian lama.

Najib seterusnya mengulangi sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk sebuah negara yang bebas dan berdaulat.

Dengan merujuk kepada pelbagai kejadian yang berlaku di dunia Arab sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang mewujudkan kekecohan dan keraguan, beliau berkata, komuniti dunia tidak seharusnya terlepas pandang kenyataan bahawa negara-negara ini dan rakyatnya kini berhadapan dengan pilihan.

“Pilihan antara ekstremis serta tiada toleransi; dan suasana aman serta kesederhanaan demokratik yang akan memberikan mereka lebih banyak kebebasan bersuara,” tambah beliau. - TMI

* Bacul atau tidak jika biarkan isteri tidak menutup aurat?

No comments:

Post a Comment