25 May 2011

Minda: Facebook senjata pikat keldai dadah

KEGILAAN melayari laman sosial Facebook digunakan sindiket dadah antarabangsa terutama dari Afrika untuk memikat dan menjerat wanita tempatan dengan kata-kata cinta sebelum direkrut untuk dijadikan keldai dadah.

Di negara ini saja, terdapat 7.5 juta pemilik akaun sosial itu iaitu satu jumlah yang agak besar berbanding keseluruhan penduduk negara ini.

Walaupun sudah banyak laporan mengenai pembabitan sindiket dadah antarabangsa menjadikan wanita tempatan sebagai penyeludup dadah tersiar di media, bilangan mereka yang berjaya diperdaya masih berlaku.

Ini menunjukkan ahli sindiket dadah terbabit begitu licik dan menggunakan apa saja cara untuk menjerat wanita kita. Kata-kata cinta yang sentiasa diucapkan walaupun tidak pernah bertemu muka pada awal perkenalan menjadikan wanita yang dipikat tertarik hingga sanggup bersengkang mata ber‘chatting’ hingga ke pagi.

Keahlian sindiket dadah antarabangsa ini adalah daripada pelbagai negara dan mereka ini memiliki kemahiran berbeza dan sangat licik hingga kegiatan sukar dikesan. Walaupun mereka tahu hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan kerana menyeludup atau memiliki dadah ke negara ini, ia tidak sedikit pun menjadi halangan bagi mereka menjalankan kegiatan itu.

Perniagaan dadah ini adalah satu industri haram yang menguntungkan hingga menyebabkan ahli sindiket dadah terbabit masuk ke negara ini secara sah dengan menyamar sebagai pelancong atau pelajar dan pada masa sama menggunakan kemewahan atau kemahiran berkomunikasi untuk memikat wanita tempatan.

Apabila sudah berjaya dipikat, wanita tempatan ini ditawarkan kerja dengan gaji lumayan, percutian percuma atau segala bentuk kemewahan sebelum dipaksa menyeludup dadah.

Dalam kejadian terbaru, pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya. Pelajar itu dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebooknya iaitu seorang lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael.

Lelaki itu memujuk mangsa ke China dengan segala perbelanjaan ditanggung. Michael juga berjanji membayar RM5,000 sebelum meminta mangsa menelan 100 biji dadah jenis heroin sebelum berlepas ke China. Pelajar itu ditahan di Lapangan Terbang Shenzen oleh pihak berkuasa sebelum menemui heroin berkenaan dalam perutnya.

Pada 26 April lalu pula, 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kerana menyeludup dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta) yang disembunyikan dalam kasut masing-masing. Paling memeranjatkan ada dalam kalangan mereka ini berstatus warga emas.

Mengikut statistik, sejak 2007 hingga tahun lalu, 239 rakyat Malaysia ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara. Daripada jumlah itu, 120 adalah lelaki manakala 119 wanita berusia di bawah 40 tahun manakala dalam tempoh Januari hingga April lalu, 34 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama di luar negara.

Kebanyakan mereka membawa dadah itu dari lapangan terbang di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengesahkan laman sosial Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat negara ini bagi dijadikan keldai dadah.

Apa yang menjadi persoalan dan kemusykilan, bagaimana warga asing ini memperoleh dadah dengan jumlah besar di negara ini sebelum ia dibahagikan kepada wanita tempatan yang dijadikan keldai dadah untuk diseludup semula ke luar negara terutama ke China? Bagaimanapun, ada juga diseludup ke Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Eropah.

Kemungkinan sindiket dadah antarabangsa ini menjadikan Malaysia transit kegiatan mereka sebelum dadah yang kebanyakan jenis syabu dan ketamin diseludup semula ke negara lain.

Mereka juga menggunakan pelbagai kaedah untuk menyeludup dadah ini termasuk menelannya, menyembunyikan dalam ruang khas dalam bagasi, tin susu, sabun dan yang terbaru menyembunyikannya dalam ubi kayu. Malah, sindiket terbabit juga semakin berani apabila memproses dadah ini di dalam negara ini dengan mewujudkan makmal di rumah mewah yang disewa mereka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Berdasarkan pemantauan Bukit Aman, permintaan tinggi daripada penagih dalam negara menyebabkan trend penyeludupan dadah membabitkan warga asing ini berlaku dan ia pula dilakukan keldai dadah dari negara luar terutama Iran, India, Nigeria, Pakistan dan Afrika Selatan.

Tahun lalu saja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar tiga makmal dadah berskala besar dan 18 makmal dadah berskala kecil yang menghasilkan dadah secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Berikutan kejayaan polis menghapuskan makmal itu, bekalan dadah dalam negara tidak mencukupi bagi menampung permintaan penagih dalam negara dan ruang kosong ini memberi peluang kepada pengedar dadah antarabangsa menyeludup masuk bahan haram itu ke dalam negara.

Setakat Januari hingga April lalu, 55 tangkapan warga asing menyeludup dadah berjaya ditahan termasuk 31 dari Iran, Nigeria (13) dan Afrika (11).

Sejumlah 129.8 kilogram dadah syabu yang dianggarkan nilai pasaran melebihi RM25 juta selain 597 gram dadah heroin turut dirampas dalam semua tangkapan itu. Jumlah itu dianggap tinggi kerana rampasan dadah tahun lalu bernilai RM5.89 juta dan RM8.7 juta pada 2009.

Malaysia bukan negara sasaran penyeludupan dadah antarabangsa kerana dimaklumkan negara serantau lain turut menghadapi isu sama.

Bagaimanapun, polis sentiasa membuat kajian mengenai trend kemasukan dadah menggunakan semua pintu masuk negara untuk membendung aktiviti penyeludupan bahan terlarang itu.

Kegiatan penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia ini mencemarkan nama dan imej negara, sekali gus menyukarkan rakyat negara ini yang mahu membuat perjalanan atas pelbagai urusan ke luar negara.

Sehubungan itu, Wisma Putra menggariskan lima langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa berkenaan yang diterima melalui e-mel atau secara ‘chatting’ iaitu:

Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan.

Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta.

Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui.

Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat.

Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang diragui kesahihannya.

Walaupun ada cadangan laman Facebook disekat di negara ini bagi mengelak wanita tempatan terus dieksploitasi sebagai keldai dadah, langkah itu dilihat sebagai langkah ke belakang dalam mengamalkan dasar langit terbuka yang diamalkan kerajaan.

Apa yang boleh dibuat dan dilakukan wanita kita ialah berhati-hati dan tidak melayan sebarang e-mel atau rakan sosial yang diragui terutama dalam kalangan warga Afrika. - Mymetro

No comments:

Post a Comment