31 May 2011

Indonesia tarik balik pembekuan amah

BANDUNG 30 Mei - Selepas dua tahun membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, kerajaan Indonesia hari ini menarik semula pembekuan tersebut.

Ia dimuktamadkan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara di sini hari ini.

Malaysia dan Indonesia diwakili oleh menteri masing-masing iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam dan rakan sejawatannya di sini, Muhaimin Iskandar.

Muhaimin pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu memberitahu, Indonesia memerlukan tempoh dua minggu untuk memastikan urusan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia kelak memenuhi standard yang dikehendaki.

"Kami (Indonesia) memerlukan masa dua minggu untuk menyiapkan segala urusan dokumentasi, penempatan serta persediaan pembantu rumah yang akan bekerja di Malaysia," kata beliau.

Selain menarik balik pembekuan itu, MoU berkenaan turut menetapkan gaji yang perlu dibayar kepada pembantu rumah dari Indonesia pada masa depan bukan lagi RM600 seperti yang dituntut sebelum ini.

Sebaliknya, kerajaan Indonesia bersetuju dengan pandangan Malaysia bahawa gaji pembantu rumah tertakluk pada tuntutan pasaran semasa.

Namun pihak Indonesia akan menentukan bahawa gaji yang bakal ditawarkan majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia.

Gaji minimum di Indonesia berbeza mengikut kawasan dan yang paling tinggi ialah di Jakarta iaitu Rp1.2 juta (RM420) tetapi masih ada pembantu rumah di Jakarta yang dibayar gaji lebih rendah daripada kadar itu.

Menerusi MoU itu juga, majikan Malaysia dijamin mendapat pembantu rumah ganti atau ganti rugi wang pendahuluannya daripada agensi pekerjaan berkaitan jika pembantu rumah mereka melarikan diri, tidak cekap atau tidak lulus pemeriksaan kesihatan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Subramaniam berkata, ketetapan baru dalam MoU juga menyaksikan persetujuan untuk mengurangkan kos pembayaran kepada ejen-ejen yang membekalkan pembantu rumah kepada RM4,511.

Sebelum ini, majikan Malaysia perlu membayar kepada ejen pekerjaan sehingga RM8,000 jika ingin mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia.

Subramaniam turut memberitahu, pembantu rumah Indonesia juga akan diberikan hak memegang pasport, kelayakan satu hari rehat serta perlindungan yang sewajarnya ketika bekerja di Malaysia.

Berhubung aspek perlindungan pembantu rumah, beliau berkata, kesemua pekerja asing akan diberikan taraf perlindungan yang sebaik-baiknya berlandaskan lunas undang-undang Malaysia.

"Aspek perlindungan merupakan usaha berterusan kerajaan Malaysia sama seperti yang dinikmati oleh pekerja tempatan.

"Bagaimanapun, pekerja asing yang layak menerima perlindungan hanya diberikan kepada mereka yang memasuki Malaysia secara sah," tegas Subramaniam.

Pada masa sama, beliau berkata, untuk memastikan ketetapan dalam MoU berkenaan dicapai, kedua-dua kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama dalam usaha menangani isu pembantu rumah berkenaan.

"Jawatankuasa itu akan memantau segala persepakatan yang dicapai dalam MoU yang berkuat kuasa hari ini," katanya.

Jawatankuasa Kerja Bersama tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua Kementerian Sumber Manusia serta wakil pelbagai agensi lain dan kedutaan Malaysia dan Indonesia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment