08 May 2011

Ibu bapa mahu subjek seks diajar

(Gambar Hiasan)

KUALA LUMPUR: Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) diperluaskan lagi berikutan kajian mendapati antara punca gejala sosial seperti seks bebas, hamil tanpa nikah dan buang anak adalah disebabkan ramai belum memahami apa sebenarnya seks.

Berikutan itu, PKRS yang bermatlamat memberi pendedahan kepada semua golongan mengenai sistem reproduktif manusia, akan diperluaskan di sekolah rendah dan menengah hujung tahun ini, dengan tumpuan diberikan kepada pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas mereka menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata PKRS yang akan diperkenalkan itu adalah program kokurikulum di sekolah, bukannya subjek teras yang wajib diambil pelajar atau dijadikan mata pelajaran untuk peperiksaan umum.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan kejayaan projek perintis membabitkan 308 pelajar iaitu 157 lelaki dan 151 perempuan mewakili lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Kelantan; SMK LKTP Lepar Hilir, Gambang, Pahang; SMK Seberang Jaya, Pulau Pinang; SMK Taman Medan, Selangor dan SMK Sri Pantai, Kampung Kerinchi di sini yang diperkenalkan pada 2009.

“Kita perluaskan program ini selepas mendapati projek perintis itu mendapat maklum balas yang baik daripada ibu bapa dan sekolah. Ia juga sebagai kesinambungan perkenalan subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) untuk pelajar Tahun Satu yang diperkenalkan mulai Januari lalu.

“Namun, ada beberapa perkara sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pelajaran sebelum ia dilaksana untuk pelajar yang selesai mengambil UPSR dan PMR nanti,” katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment