KUALA LUMPUR 21 Mei - Penyanyi popular, Jamal Abdillah, 52, sedih dan kesal dengan laporan sebuah akhbar harian (bukan Utusan) hari ini yang didakwa cuba melaga-lagakan beliau dengan Yang Dipertua, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd. Yunus Pathi.
Menurut Jamal, dakwaan bahawa beliau tidak pernah memberikan sebarang sumbangan kepada Rumah Pengasih sejak tinggal di situ lima tahun lalu adalah tidak benar sama sekali.
"Saya cukup terkejut dengan berita tersebut dan ia benar-benar memberikan tamparan buat saya kerana apa yang didakwa itu tidak pernah berlaku.
"Sejak tinggal di Rumah Pengasih lima tahun lalu, saya telah memberikan sumbangan yang sepatutnya seperti mana yang dipersetujui oleh saya dan beliau (Mohd. Yunus).
"Apa yang boleh saya katakan di sini laporan tersebut telah diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak tertentu yang barangkali ada rasa tidak puas hati dengan saya.
"Hubungan saya dengan Mohd. Yunus memang cukup baik dan langsung tiada masalah sejak kami mula mengenali 25 tahun lalu. Malah, saya juga telah menganggapnya seperti bapa saya sendiri," katanya.
Bekas juara Bintang RTM 1979 itu berkata demikian sewaktu ditemui di Rumah Pengasih, di sini hari ini.
Mohd. Yunus bagaimanapun tidak ada bersama Jamal sewaktu ditemubual kerana sibuk dengan tugasan lain.
Dalam laporan yang diterbitkan akhbar tersebut, Mohd. Yunus mendakwa Jamal tidak pernah memberikan sebarang sumbangan melainkan perbelanjaan untuk makan dan minum beliau sepanjang lima tahun menginap di pusat berkenaan.
Bukan itu sahaja, Mohd. Yunus turut mempersoalkan kedudukan Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali yang masih lagi mahu tinggal di Rumah Pengasih sedangkan beliau mempunyai sumber kewangan yang lumayan.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Jamal berkata, beliau mempunyai bukti kukuh berupa resit bayaran bagi membuktikan segala sumbangan yang telah diberikan kepada Rumah Pengasih.
"Mohd. Yunus juga telah memberikan kebenaran kepada saya untuk menunjukkan segala bukti jika ada pihak yang meragui perkara ini.
"Saya telah menyumbang apa yang sepatutnya untuk Rumah Pengasih sejak dari awal tinggal di sini. Tidak cukup dengan itu, saya juga aktif melakukan kegiatan amal yang dianjurkan oleh Pengasih dengan kerjasama syarikat korporat serta swasta yang lain.
"Jadi, di manakah kebenarannya yang mengatakan saya langsung tidak memberikan sebarang sumbangan? Saya akan terus berbakti untuk Rumah Pengasih selagi hayat dikandung badan," kata penghibur yang cukup popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir serta Takdir Penentu Segala itu.
Jamal yang enggan memanjangkan lagi kisah itu berharap, perkara tersebut tidak akan dibangkitkan oleh mana-mana pihak kerana beliau dan Mohd. Yunus tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Sementara itu, Mohd. Yunus yang dihubungi berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut. - Utusan
No comments:
Post a Comment