09 May 2011

Bot pulang misteri


SABAK BERNAM: Jeti nelayan Kampung Bagan Sungai Besar, dekat sini, gempar apabila sebuah bot yang dinaiki lima nelayan ditemui dengan kesan darah di beberapa bahagian dalam bot berkenaan, kelmarin.

Lebih mengejutkan, lima nelayan berkenaan iaitu tekong, Chia Yeow Chian, 41, pembantunya, Ismail Rejab, 41, serta tiga awak-awak warga Indonesia berusia antara 30 dan 35 tahun hilang dan gagal dikesan.

Ketika usaha mencari dan menyelamat dilakukan, pihak berkuasa menemui satu tilam yang turut mempunyai kesan percikan darah di tengah laut berhampiran perairan Sungai Besar dan adik Yeow Chian, Chia Yeow Soon, 39, mengesahkan tilam itu milik abangnya. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, semua mangsa dilaporkan turun ke laut seperti kebiasaan untuk menangkap ikan pada jam 7 pagi, 4 Mei lalu dari Jeti Kampung Bagan Sungai Besar.

“Bagaimanapun, pada jam 7 pagi semalam (kelmarin), adik tekong berkenaan (Yeow Soon) terkejut apabila mendapati bot dinaiki abangnya bersama yang lain berada di jeti tetapi, tiada seorang pun di situ.

“Pemeriksaan adik tekong itu kemudian mendapati ada beberapa kesan darah di bahagian dalam dan hujung bot itu sebelum dia cuba mencari abangnya dan Ismail di rumah mereka, namun mendapati nelayan terbabit masih belum pulang,” katanya ketika ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, Yeow Soon juga mendapati motosikal abangnya yang diletakkan di jeti itu sebelum turun ke laut, turut hilang namun polis menemui semula kenderaan itu di tepi jalan di Sungai Labu, kira-kira 13 kilometer dari tempat ia hilang, kelmarin.

Yeow Soon kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan pemeriksaan polis mendapati memang ada kesan darah di atas bot berkenaan namun tiada sebarang senjata ditemui.

Noor Mushar berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan pelbagai agensi termasuk polis, pasukan polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu nelayan tempatan. Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin pasukan penyelamat menemui satu tilam mempunyai kesan darah yang terapung di laut dan ia sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di atas bot itu di tengah-tengah laut, namun siapa yang menjadi penyerang dan mangsa belum dapat diketahui.

“Polis juga belum mengetahui siapa yang membawa pulang bot berkenaan ke daratan. Ini kerana kita belum dapat mengesan seorang pun daripada kelima-lima mangsa, namun segala bukti sedang dikumpulkan,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes berkenaan setakat ini dilakukan sebagai sebagai kes orang hilang sehingga petunjuk baru ditemui. - Mymetro

No comments:

Post a Comment