10 May 2011

Abu Bakar terlepas hukuman mati


JAKARTA: Pendakwa raya Indonesia semalam menggugurkan tuduhan keganasan paling serius terhadap ulama radikal, Abu Bakar Bashir kerana kekurangan bukti. Tindakan itu menyebabkan beliau berkemungkinan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup saja, tidak hukuman mati.

Pada perbicaraannya semalam, pendakwa raya berkata, dakwaan bahawa Abu Bakar membekalkan senjata dan bahan letupan untuk tujuan keganasan yang boleh menyebabkan beliau dihukum mati tidak dapat dibuktikan.

Tuduhan menghasut tindakan keganasan terhadap ulama berusia 72 tahun itu juga digugurkan.

Abu Bakar kini hanya didakwa membiayai sebuah kumpulan pengganas dengan wang melebihi RM188,000.

Pendakwa raya berusaha mendapatkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya jika sabit kesalahan.

Beratus-ratus pengikut ulama berkenaan melaungkan takbir apabila dua tuduhan serius itu digugurkan.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, Abu Bakar memberitahu wartawan, beliau menolak tuduhan terhadapnya dan mengecam pendakwa raya dengan menyifatkan mereka sebagai ‘sekutu syaitan.’ “Sekutu syaitan sentiasa begitu. Mereka akan cari jalan untuk berperang dengan orang yang cuba membela Islam. “Mereka yang sepatutnya dituduh pengganas. Semoga Allah menghantar bencana ke atas mereka secepat mungkin,” kata ulama itu.

Abu Bakar, sebelum perbicaraan semalam sempat memuji Osama bin Laden, pemimpin al-Qaeda yang dibunuh komando Amerika Syarikat minggu lalu. Katanya, Osama akan memperoleh syurga dan beliau memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama supaya bertaubat atau menjadi ‘anjing neraka.’ - AFP

No comments:

Post a Comment