07 April 2011

Samy Vellu dibayar gaji, elaun RM27,227.20 sebulan

Duta Khas (infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu dibayar gaji dan elaun RM27,227.20 sebulan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Selain itu, bekas presiden MIC itu juga menikmati segala kemudahan dan elaun lain yang diberikan selaras dengan taraf duta.

“Seramai enam orang kakitangan (juga) telah diperuntukkan untuk bertugas di pejabat Duta Khas. Bermula 1 Jun 2011, Pejabat Duta Khas adalah di tingkat 25, Plaza Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur,” katanya dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

Nazri menjawap soalan yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu rasional kerajaan menubuhkan jawatan tersebut dan lingkungan kerjanya.

“Rasional menubuhkan jawatan Duta Khas (infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan adalah untuk meningkatkan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur di India dan Asia Selatan.

Tidak bertindih

“Oleh kerana negara-negara Asia Selatan, terutamanya India sedang mengalami pembangunan ekonomi yang pesat, keperluan infrastruktur yang berkualiti adalah amat penting untuk menyokong pembangunan ekonomi tersebut,” katanya.

Menurut Nazri lagi jawatan yang disandang oleh Samy Vellu itu juga tidak bertindih dengan tugasan rasmi pegawai kerajaan yang lain.

“Lingkungan kerja Duta Khas adalah mengenalpasti projek-projek infrastruktur di Asia Selatan yang sesuai dengan kelayakan dan kebolehan syarikat-syarikat Malaysia.

“Seterusnya, Duta Khas akan mengerakkan peranan mewujudkan peluang yang baik bagi syarikat tersebut untuk mengambil bahagian dalam projek-projek tersebut mengikut undang-undang dan peraturan tempatan,” katanya.

Sesetengah pihak menganggap jawatan Duta itu diwujudkan khas bagi menghargai sumbangan Samy Vellu, yang sudi melepaskan jawatan presiden MIC tahun.

MIC kalah teruk dalam pilihan raya umum 2008 yang turut menyaksikan Samy Vellu sendiri tewas di kubu kuatnya di Sungai Siput - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment