10 April 2011

Najib: Kempen enam hari saya bukan makna BN Sarawak tertekan

SUNGAI BULOH, 10 April — Datuk Seri Najib Razak menolak andaian langkah beliau meluangkan enam hari berturut-turut mulai petang ini untuk berkempen bagi Barisan Nasional (BN) Sarawak bukan petanda mereka makin tertekan dan terdesak dalam mempertahankan negeri itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri (gambar) berkata, beliau selaku Pengerusi BN hanya menjalankan tugas membantu siri kempen menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Saya rasakan ia menjadi tanggungjawab saya untuk pergi menemui akar umbi apabila ada pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri. Jadi, apa yang saya lakukan ini bukan sesuatu luar biasa.

“Dan, Sarawak juga sebuah negeri yang besar, ada 71 kerusi. Jadi, walaupun kita hendak pergi ke beberapa kawasan pun, kita memerlukan beberapa hari disebabkan (faktor) jarak,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League di Institut Penyelidikan Getah di sini pagi ini.

The Malaysian Insider pagi tadi membawa laporan bahawa Najib akan menjelajah ke seluruh Sarawak bagi membantu BN sepanjang baki enam hari akan datang — sehingga Jumaat ini — yang menurut pembangkang petanda jelas perikatan yang memerintah ini sudah mula merasai kehangatan kempen pilihan raya dalam usaha mengekalkan negeri yang selama ini dianggap sebagai deposit hayat mereka.

BN dilihat berhadapan dengan tekanan hebat daripada Pakatan Rakyat (PR) khususnya di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di mana pengundi-pengundi dilihat sudah mula menerima agenda “undi untuk perubahan” yang dibawa PR.

Malah, kempen BN juga dikatakan dibayangi laporan-laporan dan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud — ketua menteri Sarawak paling lama memegang jawatan.

Ramai pengundi yang ditemui kelihatan berhati-hati apabila ditanya siapa yang mereka akan menyokong Sabtu ini.

Berbanding dengan laungan “BN” yang sering didengar, mereka kelihatan ‘membisu’ kali ini mengenai pilihan mereka. DIfahamkan pendirian ini satu petanda jelas pembangkang telah berjaya memikat pengundi-pengundi di kawasan kubu kuat BN.

Ini pilihan raya negeri Sarawak yang pertama bagi Najib sejak dilantik sebagai perdana menteri.

Najib akan tiba di Kuching lewat petang ini.

Mengulas jadual ketat Najib yang sanggup menghabiskan enam hari di Sarawak menjelang hari pengundian 16 April, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, ia petanda jelas BN makin terdesak untuk mengekalkan kubu kuatnya di Sarawak.

Bagaimanapun beliau bimbang BN akan menggunakan apa jua cara untuk memastikan ia dapat mengekalkan negeri Sarawak, Sabtu ini.

“Ia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ia dapat kekal meneruskan kuasa di Sarawak. Saya berharap ia tidak akan menjejaskan pengundian dan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih,” kata Pua yang juga anggota Parlimen.

Ini kali pertama sejak 1987, Sarawak menyaksikan persaingan bagi semua kerusi yang diperuntukkan. - TMI

* Kejelekan rakyat terhadap tabiat Taib mengatasi segalanya...

No comments:

Post a Comment