27 April 2011

Mufti Perlis pertahan Imam Besar Masjidil Haram, dakwa syaki Wahabi fitnah

KUALA LUMPUR, 27 April — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempertahankan kehadiran Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais sambil menafikan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah “satu fitnah.”

Malah kata beliau, pandangan seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), walaupun bersifat mengesyaki, tetapi ia menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan umat Islam memandangkan Sheikh Abdul Rahman mengimamkan solat di Masjid Wilayah Persekutuan Jumaat lalu dan di Masjidil Haram di Arab Saudi yang turut dihadiri jemaah haji.

“Ia kenyataan keterlaluan,” kata beliau.

“Bagaimana penerimaan jemaah yang hadiri solat di Masjid Wilayah Persekutuan dan jemaah Malaysia yang bersolat di Masjidil Haram... kenyataan ini mendatangkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan orang Islam, ratusan ribu umat Islam Malaysia mengerjakan haji setiap tahun,” kata beliau sambil menegaskan, tidak wajar mengkafirkan “saudara Islam.”

“Ia satu fitnah amat besar kepada kerajaan Malaysia... kenyataan itu boleh mendatangkan kegelisahan awam di kalangan orang Islam kerana dia telah memfitnah orang Islam,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Juanda, yang akan berada di Arab Saudi bersama-sama mufti-mufti dari Malaysia selama 10 hari mulai esok berkata, pihaknya ada bukti yang dapat menunjukkan pandangan yang disampaikan oleh Sheikh Abdul Rahman pada seminar Sabtu lalu tiada unsur Wahabi sama sekali.

Sempena lawatan kerja lima hari itu, Sheikh Abdul Rahman juga mengambil bahagian dalam seminar anjuran kerajaan negeri Perlis. Beliau juga mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyampaikan syarahan umum bertajuk “Masa Depan Ketamadunan Islam Abad Ke-21” di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa.

“Seminar ini dianjurkan oleh kerajaan negeri Perlis, kami ada bukti di mana pandangan Sheikh Abdul Rahman tidak membawa unsur Wahabi. Beliau banyak menyentuh soal perpaduan dan memberikan nasihat kalau ada perpecahan, gunakan lunas al-Quran untuk kekal bersatu,” katanya lagi.

“Seminar ini juga dihadiri sekitar 2,000 orang termasuk wakil jabatan-jabatan agama, Jakim, JAWI (Jabatan Agama Wilayah Persekutuan), ada ramai saksi,” kata Juanda lagi.

Seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai”.

Juanda mengulas laporan memetik Zamihan Mat Zain, pegawai Jakim yang mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Juanda sendiri, bekas menteri besar Perlis dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Semalam, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Baharom dalam kenyataan disiarkan The Malaysian Insider pagi tadi berkata, kunjungan Sheikh Abdul Rahman ke Malaysia minggu lalu tidak membabitkan motif mahu mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini.

Beliau berkata kedatangan Sheikh Abdul Rahman adalah untuk mengeratkan hubungan antara dua negara — Malaysia dan Arab Saudi.

Malah kata beliau, Sheikh Abdul Rahman datang ke Malaysia atas jemputan negara ini dalam usaha untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.

“Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini atas jemputan negara dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara dua negara... jadi tidak timbul soal nak wujudkan atau bawa fahaman Wahabi. Sebagai sebuah negara Islam kita terima pemimpin agama termasuk Imam Besar Masjidil Haram ini.

“Kita hormati kehadiran dan pandangan beliau (Sheikh Abdul Rahman) tentang Islam, malah saya tidak nampak kehadiran beliau melalui program-program yang kita anjurkan ada usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi,” katanya.

Juanda berkata pihaknya berharap Jamil Khir dan Jakim akan mengambil satu tindakan tegas dalam isu ini.

“Tindakan lanjut yang tegas perlu dibuat,” kata Juanda.

“Saya bersama mufti-mufti lain akan berada di Saudi kira-kira 10 hari atas jemputan kerajaan Saudi. Jadi, saya berharap Datuk Jamil Khir dan Ketua Pengarah Jakim akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini... jika tidak kami akan menulis kepada perdana menteri selepas ini,” katanya lagi. - TMI

* Orang Wahabi sahaja yang tidak suka Zamihan ini...

No comments:

Post a Comment