Presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim berkata, beliau percaya kenyataan pengerusinya, Raja Petra Kamaruddin telah diputarbelit oleh stesen TV3.
Kenyataan berkenaan disiarkan stesen berkenaan dalam slot berita waktu perdana secara berturut-turut sejak malam kelmarin.
Haris menjelaskan, Raja Petra dalam temuramah berkenaan hanya menamakan seorang individu yang didakwa telah memberitahu beliau mengenai dakwaan berhubung penglibatan isteri perdana menteri dalam kes pembunuhan Altantuya.
"Tetapi suara latar (laporan TV3) itu berkata beliau mendapat maklumat dari beberapa individu," katanya mengulas temubual Raja Petra dengan pengarang kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah.
Kenyataan Raja Petra dalam temubual itu juga bukanlah satu "pengakuan," seperti laporan stesen televisyen berkenaan.
Jelasnya, Raja Petra malah telah meminta pihak berkuasa menyiasat individu yang dinamakannya dalam temubual berkenaan.
Haris juga berkata, temubual itu dijalankan selama lebih sejam Februari lalu.
Raja Petra memberitahu beliau demikian dalam satu perbualan telefon dengan penulis blog popular itu hari ini, kata Haris.
"(Kandungan) temubual selebihnya itu kita masih tidak tahu.
"Jadi saya cabar TV3 untuk siarkan temuramah itu sepenuhnya tanpa suntingan," katanya lagi kepada media di pejabat MCLM hari ini.
Tambahnya, beliau juga percaya Raja Petra telah "terlepas pandang" mengenai "bahaya" yang mungkin timbul apabila ditemuramah TV3.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan kenyataan perdana menteri yang menyatakan rasa lega kerana kebenaran berhubung kes Altantuya telah timbul.
"Adakah kebenaran tentang kes Altantuya telah keluar?," soalnya yang membangkitkan semula beberapa persoalan yang masih belum terjawab berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia itu.
"(Kes itu) cuma ditutup dalam fikiran perdana menteri, tapi belum ditutup di pandangan masyarakat awam.
"Siapa yang mengarahkan mereka dan kenapa (arahan diberikan)," soalnya, merujuk kepada dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang didapati bersalah dalam perbicaraan kes tersebut," katanya.
Haris (kiri) mendakwa ini adalah satu-satunya sebab mengapa (TV3) muncul dengan laporan yang disiarkan berturut-turut.
"Ini adalah untuk memberi maklumat salah kepada rakyat di Sarawak kerana ada pilihan raya esok," katanya lagi. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment