ALOR SETAR Dua ahli perniagaan adik-beradik ditahan kerana disyaki menganiaya tujuh pekerja mereka tanpa memberi makan dengan sempurna dan tidak membayar gaji selain memukul pekerja terbabit sejak tiga hingga sembilan bulan lalu.
Lelaki tempatan berusia 50 dan 44 tahun yang juga pengusaha restoran itu ditahan Jabatan Imigresen di rumah masing-masing dalam dua serbuan di Taman Melor dan Jalan Kuala Kedah, di sini dalam Ops Sapu selama dua jam bermula pukul 10 malam kelmarin hingga 4 pagi semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hasreena Hashim memberitahu, dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Taman Melor milik lelaki berusia 50 tahun itu, pihaknya menahan tiga wanita warga Indonesia berusia di antara 23 hingga 33 tahun.
Katanya, serbuan kedua di sebuah rumah milik adik lelaki itu di Jalan Kuala Kedah pula pihaknya menahan empat wanita warga Indonesia berumur di antara 26 hingga 33 tahun.
Dalam serbuan di Taman Melor, tiga wanita itu yang merupakan pekerja restoran dan pembantu rumah mendakwa tidak dibayar gaji sejak sembilan lalu.
Mereka turut mendakwa majikan hanya memberi lebihan makanan untuk dimakan. Mereka memberitahu kerap dipukul dan ditampar jika buat kesalahan, katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam. - Kosmo
No comments:
Post a Comment