BALING 14 April – Pelajar pintar, Halimaton Abdul Rasyid mengakui sedang meniti saat-saat bahagia bersama suami yang dinikahinya di Daerah Stol, Selatan Thailand minggu lalu dan tidak menganggap telah melakukan perkara yang tidak baik.
“Kami bahagia sangat,” kata pelajar berusia 16 tahun itu ketika Utusan Malaysia bertanya mengenai perkembangan terbarunya selepas bernikah dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Adam.
Halimaton kini berada bersama keluarga suaminya di Kuah, Langkawi selepas bernikah pada 7 April lalu.
Berita pernikahan Halimaton disahkan sendiri oleh ibunya, Normah Abdul Razak, 45, kepada Utusan Malaysia semalam.
Halimaton berkata, dia gembira dengan apa yang dilakukannya dan menganggap perbuatannya keluar dari rumah di Kampung Lanai di sini dan bernikah di Selatan Thailand bukan perkara yang tidak baik.
Mengenai pengesahan nikahnya, Halimaton berkata, dia dan suaminya sedang dalam proses mendaftarkan pernikahan itu di negara ini.
Halimaton memberitahu, walaupun sudah bernikah, dia akan meneruskan pelajaran dan suaminya telah memberi kebenaran untuk berbuat demikian di sebuah sekolah swasta tidak lama lagi.
Sementara itu, Normah berkata, dia sedia menerima anak dan menantunya jika mereka benar-benar mahu kembali ke kampung.
Pada 22 Mac tahun lalu, Halimaton yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2007, hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani sebelum ditemui tinggal bersama keluarga teman lelakinya di Langkawi.
Selepas dipujuk, Halimaton berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun baru-baru ini, Halimaton hilang buat kali kedua dan sudah bernikah dengan teman lelakinya itu. - Utusan
* Bahagia ya. Kita tengok nanti...
No comments:
Post a Comment