14 April 2011

Jenain: Tembakan Tidak Disengajakan

SHAH ALAM: Walaupun mengakui dirinya seorang penembak yang mahir, Koperal Jenain Subi memberitahu kejadian tembakan yang telah menyebabkan kematian pelajar tingkatan tiga, Aminuirasyid Amzah pada tahun lalu merupakan satu kemalangan yang tidak disengajakan.

AminulRasyid, 15, mati akibat kepalanya terkena sebutir peluru yang menembusi cermin belakang dan penyandar kepala tempat duduk pemandu kereta Proton Iswara nombor pendaftaran BET 5023 yang dipandu arwah tanpa pengetahuan keluarga.

Mengimbas kembali kejadian, Jenain memberitahu dia hanya menghalakan senjata api jenis HK sub mesingan MP5 yang diambil dari stor persenjataan Ibu Pejabat Polis (IPD) di sini selepas masuk bertugas ke bahagian bawah kereta Iswara dengan niat mahu menghentikan kereta tersebut.

"Saya tidak pernah berniat mahu mendatangkan kecederaan kepada pemandu kereta tersebut. Jika saya berniat begitu, saya akan menghalakan senjata ke bahagian cermin belakang kereta.

"Jika begitu keadaannya, mungkin akan lebih banyak peluru terkena pada bahagian cermin belakang dan badan orang tersebut. Saya lepaskan tembakan bukan dengan niat untuk membunuh," katanya yang kelihatan tenang semasa memberi keterangan dari kandang saksi.

Bapa kepada empat anak itu menambah, dia sekadar menjalankan tugas sebagai seorang anggota polis, yang disertainya sejak tahun 1985.

Jenain yang disoal oleh peguam M. Athimulan turut menafikan dakwaan bahawa dia cuai dan berada dalam keadaan marah semasa melepaskan tembakan ke arah kereta Iswara itu.

"Saya tenang dan sabar. Jika saya marah mungkin tembakan akan lebih banyak terbabas ke arah badan kereta. Mungkin saya akan menghabiskan satu pelopak yang mengandungi 25 butir peluru," tambahnya.

Selepas kejadian, Jenain, 49, dimaklumkan bahawa sebanyak 21 butir peluru telah dilepaskan daripada senjata yang didaftarkan di bawah namanya.

Pada keterangan lain, Jenain juga memberitahu kereta Iswara itu dipandu dengan sangat pantas, iaitu pada kelajuan 130 kilometer per sejam, melanggar lampu isyarat dan dipandu secara zig-zag untuk menghalang dua kereta peronda polis (MPV) dari memotong.

"Berdasarkan cara pemanduan, saya beranggapan kereta itu baru melakukan rompakan atau samun di luar kawasan saya kerana dipandu secara melulu," tambahnya.

Jenain juga mendakwa rakan sejawatnya, Konstabel Mohd Izham Mahayadin berbohong semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan apabila mengatakan dia melepaskan tembakan walaupun keadaan kereta Iswara didakwa tidak lagi agresif dan mula terhuyung-hayang.

Izham merupakan krew sebuah lagi kereta MPV yang mula mengejar kereta Iswara dan membuat hebahan menerusi radio MPV bagi meminta bantuan untuk mengejar kereta yang dipandu oleh AminulRasyid kerana dikatakan melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

"Siapa yang berada hampir dengan hebahan mesti memberi bantuan. Jika tidak ia akan dianggap sebagai melanggar arahan. Mohd Izham tidak memberi arahan untuk tidak berhenti menembak. Jika ada, saya tidak akan lepaskan tembakan," katanya lagi.

Menurut Jenain lagi, kereta yang dinaiki oleh AminulRasyid bersama seorang rakan, Mohd Azzamudin Omar, 16, akhirnya terbabas.

Ketika itu, dia melihat kelibat orang sedang cuba melarikan diri dari pintu penumpang hadapan dan dikejar oleh Mohd Izham dan Koperal Azhar Hashim sementara dia dan pemandu MPVnya, Konstabel Mohd Hafizd Mohd Yusof memeriksa kereta.

"Saya lihat satu badan dalam keadaan mengiring ke tempat duduk penumpang hadapan. Saya tarik kakinya menyebabkan dia tertiarap dalam keadaan kaki keluar manakala mukanya tersembam di tempat duduk.

"Saya lihat ada darah di kepalanya. Saya hubungi bilik gerakan IPD untuk mendapatkan bantuan," tambah Jenain.

Jenain sedang membela diri di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid yang didakwa dilakukannya antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010.

Jika disabitkan bersalah, Jenain boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Barisan pendakwaan dibarisi oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Jumaat. - Mstar

No comments:

Post a Comment