24 April 2011

'Jangan salahkan nasi lemak sahaja'

KUALA LUMPUR 23 April — Nasi lemak bukan punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah kerana ia boleh berlaku menerusi pengambilan makanan harian berkalori tinggi yang tidak terkawal, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr. Tee E Siong.

"Kita tidak boleh menyalahkan nasi lemak sahaja sebagai punca utama, sebenarnya banyak masalah atau faktor lain yang menyebabkan masalah ini berlaku.

"Salah satu faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah mengambil makanan yang banyak kalori setiap hari. Seperti yang kita tahu, setiap makanan mempunyai kalori, jadi kita perlu bijak mengawal makanan harian yang diambil," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) 2011 bertemakan 'Kanak-Kanak Sihat, Negara Lebih Sihat-Mulakan Awal' di sini hari ini.

Beliau berkata ibu bapa perlu menanamkan tabiat makanan secara sihat dalam diri anak masing-masing kerana usaha itu akan menjadi lebih sukar apabila mereka meningkat remaja.

"Kami percaya bahawa mesej tentang makanan secara sihat perlu disampaikan kepada kanak-kanak sejak usia muda seawal tiga tahun lagi," katanya yang menggesa ibu bapa meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan.

Dr. Tee berkata kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah merupakan golongan paling berisiko terhadap kesan malnutrisi kerana mereka sedang membesar secara fizikal, selain mengalami perkembangan mental, emosi dan sosial pada peringkat ini.

"Berlebihan dan kekurangan pemakanan bukan sahaja boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan kesihatan anak-anak, malah berlebihan berat badan akan membawa kesan kesihatan yang tidak diingini di masa hadapan," katanya. — BERNAMA

* Nasi lemak makanan tradisional orang Melayu. Kalau menteri itu dari DAP, Umno akan...

No comments:

Post a Comment