16 March 2011

Wanita meraung

SHAH ALAM: Seorang wanita China hanya mampu meraung dan tidak mahu melepaskan tangan kekasihnya, selepas Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan kedua-duanya dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki kira-kira 54 gram syabu, di Kota Damansara, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki sebelum itu menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Fan Ting Ting, 25 dan Koo Ming Keung, 39, teman lelakinya dari Hong Kong dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada hari kejadian.

Bagaimanapun, Koo yang juga ahli perniagaan makanan laut turut dihukum 10 kali sebatan.

Mendengar keputusan itu, Fan terus menangis teresak-esak dan memberitahu dalam bahasa Kantonis dia takut untuk dipenjarakan.

Wanita itu yang memasuki negara ini pada Januari 2009 mula menjerit-jerit menyebabkan polis mengambil masa hampir 10 minit untuk menggarinya.

Sepanjang perbicaraan, seramai 15 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Kedua-dua warga asing itu didapati bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki 54.1 gram syabu di no 25, Jalan Pekaka 8/10, Seksyen 8, Kota Damansara pada jam 5.30 pagi, 7 Mac 2009.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana sebelum ini kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela mewakili pasangan kekasih itu, Mak Kah Keong berkata, mahkamah harus mempertimbangkan hukuman ringan kerana pada masa kejadian, kedua-dua anak guamnya berada pada masa dan tempat yang salah.

Beliau berkata, Fan dan Koo perlu menyara ibu bapa mereka yang sudah uzur di negara asal mereka.

“Ibu kepada Fan pernah dimasukkan ke hospital selepas penahanan anaknya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar memohon hukuman maksimum memandangkan ada pihak kini menganggap Malaysia adalah negara ‘transit’ untuk sindiket pengedaran dadah.

“Dadah dalam kes ini adalah jenis sintetik yang mendatangkan keburukan kepada masyarakat. Faktor kepentingan awam perlu diutamakan. Saya mohon hukuman berat,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment