25 March 2011

Video hasilkan semangat baru untuk Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Video lucah yang dihasilkan oleh Trio Umno nampaknya memberikan semangat baru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya, PKR untuk bangkit selepas tenggelam dengan pelbagai masalah dalaman sebelum ini.

Video ini juga telah berjaya mengumpulkan kembali sahabat-sahabat dan penyokong beliau walaupun sebelum ini dilihat ada yang cuba menjauhi beliau.

Pendekata, projek Trio Umno ini telah 'backfire' kepada Umno dan memberikan sokongan moral yang kuat untuk Anwar dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Mulai malam tadi, hampir 500 orang berkumpul dan bersolat hajat di rumahnya dekat Segambut.

Rakan lama beliau, Dr Siddiq Fadhil yang dilihat sudah lama menyepi memberikan tazkirah yang amat bermakna di majlis itu.

Sebelum ini, Cikgu Bard atau Badrul Hisham Shahrin telah membuat satu sidang media serta kenyataan khas mempertahankan Anwar selepas beliau cuba digunakan untuk menentang Anwar melalui video itu.

Padahal sebelum ini beliau sangat kritikal terhadap Anwar bahkan telah menolak tawaran jawatan Penolong Setiausaha Agung PKR oleh kepimpinan PKR.

Dalam majlis di Segambut, Anwar menggesa para penyokong Pakatan Rakyat dan masyarakat supaya tidak terpesong dari perjuangan dan jatuh dalam perangkap keji Umno menggunakan fitnah video lucah untuk memecah-belahkan gagasan itu, lapor TV Selangor.

"Saya masih mempertahankan bahawa fokus masih program Buku Jingga. Saya memohon agar rakan-rakan terus membaca. Jangan benarkan isu (fitnah liwat, video seks) mengheret kita jauh daripada isu pokok kerana ia akan merugikan kita.

"Jangan lupa menumpukan isu pokok dalam kerangka untuk mengangkat martabat umat dengan akhlak dan ilmu. Buku Jingga adalah dasar ekonomi alternatif. Ini menunjukkan ia ada ruang untuk dikembangkan sekiranya kita menguasai Putrajaya," kata Anwar selepas majlis solat hajat di kediamannya di Bukit Segambut malam tadi.

Buku Jingga adalah program yang merangkumi pembaharuan ekonomi, politik dan sosial yang bakal dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat jika diberi mandat menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada pilihanraya umum akan datang.



Jelajah Negara

Malam ini, Anwar menyertai Majlis Makan Malam Mengenang Pejuang di Ballroom One Plaza, Kuala Selangor iaitu di belakang Tesco Kuala Selangor. Turut serta bersama beliau adalah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Selepas itu, beliau akan bergegas ke Dewan Pusat Khidmat Rakyat, Ahli Parlimen Gombak, Pusat Bandar Taman Melawati untuk berceramah 'Membongkar Konspirasi Politik Terkini'.

Selain beliau, Azmin Ali, Saifuddin Nasution, Saari Sungib, Teo Nie Ching dan Normala Sudirman akan turut berucap.

Malam esok, beliau akan bergegas pula ke Padang Awam Taman Pauh Indah, Permatang Pauh untuk menjawab semua pertuduhan samada liwat mahupun kes terbaru video lucah yang diperkenalkan oleh Trio Umno pada media baru-baru ini.

Turut akan berucap adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan juga Johari Abdul, antara pemimpin PKR yang cuba dipancing agar membenci Anwar melalui video ini.

Kemuncak program adalah program Solat Hajat di Stadium Melawati, Shah Alam 28 Mac ini bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment