14 March 2011

UUM buka peluang wartawan buat PhD

KUALA LUMPUR: Pengamal media tempatan tidak kira cetak atau elektronik kini berpeluang melanjutkan pengajian hingga peringkat sarjana dalam program Sarjana Komunikasi Pengurusan disediakan Universiti Utara Malaysia (UUM) mulai September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya berkata, istimewanya program itu kerana pengamal media tidak perlu meninggalkan perkhidmatan mereka untuk memenuhi impian mendapatkan segulung sarjana.

Beliau berkata, usaha sama dimeterai antara MPI dan UUM itu menyediakan program pengajian bagi wartawan dan juga pengamal komunikasi korporat dan perhubungan yang mempunyai ijazah pertama dan mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Lebih menggembirakan, UUM turut memperkenalkan program doktor falsafah (PhD) industri termasuk dalam bidang komunikasi yang bermakna wartawan yang ingin menyambung pengajian boleh melakukannya sambil terus bekerja,” katanya ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPI dan UUM, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Chamil berkata, Dijangka sekurang-kurangnya 20 wartawan bakal menjadi pelajar perintis mengambil jurusan selama satu tahun setengah ditawarkan UUM itu. - Mymetro

No comments:

Post a Comment