19 March 2011

Universiti kosong


SEPANG: “Universiti kosong apabila hampir 95 peratus pelajar dan pensyarah universiti tempatan keluar untuk mengadakan demostrasi,” kata Mohd Zaidi Mat Zaid, 24.

Pelajar Pengajian Islam Universiti Yammaniah itu berkata, berikutan keadaan itu dia dan isteri, Nurul Marjan Mohd Nor, 21 serta anak lelaki sulung mereka, Abdullah Azzam, enam bulan mengambil keputusan pulang ke tanah air.

“Kebanyakan rakyat luar yang tinggal di negara itu berasa terancam walaupun pergolakan hanya berlaku di kalangan penduduk tempatan.

“Tambahan pula universiti kosong, pensyarah pun turut menyertai demonstrasi, jadi kami fikir lebih baik pulang ke tanah air selain memikirkan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Dia dan keluarga tiba bersama sepasang lagi suami isteri dan anak mereka dengan menaiki pesawat Emirates Airlines jam 2.20 petang, semalam.

Mohd Zaidi berkata, dia terpaksa menangguhkan pengajian berikutan pergolakan di Yaman semakin teruk.

Seorang lagi pelajar, Mohd Fadhil Sheikh Anuar, 27 dari Terengganu berkata, dia pulang bersama isteri dan anaknya yang berusia dua bulan selepas dinasihatkan kedutaan Malaysia di Yaman.

Pada masa sama, katanya dia turut bimbangkan keselamatan keluarga terutama anaknya, Sheikh Muhammad Ilyas yang masih kecil.

“Kalau ikutkan hati saya tak nak pulang kerana hanya tiga bulan lagi saya akan menamatkan pengajian.

“Tetapi, demi keselamatan isteri dan anak saya mengambil keputusan untuk pulang,” katanya yang yang belajar di Universiti Ulum.

Kelmarin, kumpulan pertama seramai 10 rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi penerbangan Qatar Airlines yang tiba kira-kira jam 9 malam, sementara 23 lagi dibawa pulang semalam menerusi tiga penerbangan Emirates Airlines semalam.

Terdapat 849 rakyat Malaysia berada di Yaman yang kebanyakannya belajar di negara berkenaan. Proses pemindahan baki rakyat Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa hari ini. - Mymetro

No comments:

Post a Comment