KUALA LUMPUR: Dua pasar borong utama di Selayang bersempadan antara Wilayah Persekutuan dan Selangor yang menjadi ‘syurga’ warga asing berniaga diserbu lagi, pagi semalam.
Kali ini operasi yang diketuai anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu dibuat pada jam 4 pagi.
Penguasa DBKL, Minhad Ahmad, berkata operasi membabitkan Unit Kawalan Kebersihan dan Penjaja Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan itu bertujuan membanteras warga asing di pusat bandar Kuala Lumpur serta penjaja yang berniaga tanpa lesen.
“Bagi kedua-dua pasar berkenaan, kami menahan 51 warga asing. Daripada jumlah itu, 10 daripada mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Manakala bagi 41 warga asing lagi dibebaskan kerana mempunyai dokumen dan kebanyakan daripada mereka hanya pekerja serta pembantu di pasar itu,” katanya ketika ditemui, semalam.
Difahamkan, hasil sita dan rampasan barangan penjaja dalam operasi berkenaan seperti sayuran dan buah-buahan yang dijual warga asing terbabit akan dilupuskan DBKL.
Operasi yang berakhir kira- kira jam10 pagi itu, disertai 64 anggota DBKL, 17 anggota Rela, PDRM (enam orang) dan JPN (empat orang).
Minhad berkata, operasi berkenaan akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membersihkan kawasan berkenaan daripada penjaja warga asing.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, tindakan undang-undang mengikut Akta Imigresen akan dikenakan terhadapwarga asing yang ditahan itu selepas siasat menyeluruh dibuat.
“Sebelum tindakan diambil, kami akan menyiasat sama ada pendatang yang ditahan itu melakukan kesalahan seperti tidak ada dokumen, menyalahgunakan pas pekerja atau tinggal melebihi tempoh.
“Tindakan seperti mengeluarkan kompaun akan dilakukan.
Selain itu, kami akan memastikan sama ada dokumen mereka tiada atau disimpan majikan mereka,” katanya ketika dihubungi. - Mymetro
No comments:
Post a Comment