DISAHKAN menghidap leukemia tahap kritikal pada usia 14 tahun dianggap takdir yang paling memilukan buat Noorliameera Johar.
Lantaran penyakit kanser darah yang biasa menjangkiti kanak-kanak itu, kehidupan anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini berubah sama sekali.
Dia yang kini berumur 20 tahun masih dapat merasai kesakitan menjalani pelbagai prosedur rawatan apabila mengingati semula fasa sukar dalam hidupnya itu.
“Ia bermula apabila saya sering sakit di bahagian kiri kepala manakala hidung saya sering berdarah terutama jika berada lama di tempat panas.
“Ayah hanya membawa ke klinik biasa, namun apabila saya kerap sakit, doktor menasihatkan ayah membawa saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana ada kemungkinan saya menghidap ketumbuhan otak.
“Tidak mahu berlengah, ayah membawa saya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar di Batu Pahat. Pakar yang memeriksa mengatakan saya menghidap penyakit hati dan perlu dibedah segera.
“Namun, atas nasihat seorang pakar tulang yang pernah merawat saya, Datuk Dr. Zahir Hussein Kamari, saya enggan dibedah sebaliknya pergi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk diperiksa dengan lebih lanjut di sana.
Jarum besar
“Pada 25 April 2005, saya jalani pemeriksaan darah di HSA. Selepas lima hari, saya diberitahu hasil daripada ujian tersebut menunjukkan saya menghidap leukemia jenis limfoblastik akut (LLA) iaitu leukemia yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.
“Ketika itu, tahap leukemia saya di tahap kritikal dan doktor menjangkakan saya mampu hidup di antara tiga hingga enam bulan sahaja,” katanya.
Lantaran itu, impiannya untuk kembali ke sekolah terpaksa ditangguhkan. Sebaliknya, HSA menjadi rumah kedua bagi mereka tiga beranak.
Setiap hari, selain berehat, bermacam-macam ujian dan pemeriksaan yang perlu dijalani.
Kesakitan yang ditanggung semasa penyedutan tisu sum-sum tulang (BMA), kemoterapi dan radioterapi pernah melenyapkan semangat Lia.
Bersyukur kerana memiliki keluarga yang sangat memahami keadaan dirinya, anak bongsu dari tiga adik-beradik perempuan ini mengaku mereka adalah sumber kekuatannya.
Mana tidaknya, sudahlah seluruh tubuhnya sakit, rawatan yang diberikan juga sangat menyakitkan. Menurut Lia, untuk proses penyedutan tisu tulang sum-sum, jarum yang besar dan panjang digunakan.
“Sakitnya memang tidak tertanggung. Walaupun dibius, saya boleh rasa jarum mencucuk tulang belakang dan menyedut sum-sum tulang.
Muntah hijau
“Kesan daripada itu, hampir dua minggu saya tidak mampu berdiri. Saya hanya mampu berbaring, itu pun secara mengiring di atas katil.
“Prosedur ini saya jalani dua kali sebulan manakala sebulan sekali saya menjalani rawatan kemoterapi di HSA,” katanya.
Waktu itu, katanya, badannya sentiasa rasa panas dan kepalanya sangat sakit.
“Sakitnya sampai saya rasa kepala saya mahu tercabut. Setiap kali jalani rawatan, saya akan menangis sampai tak keluar suara.
“Di samping menjalani rawatan kemoterapi, saya juga menjalani rawatan radioterapi di Hospital Pantai di Jasin, Melaka, memandangkan HSA belum memiliki mesin tersebut,” kata penuntut semester empat dalam bidang Pengurusan Pejabat di Kolej Unikop, Kuala Lumpur ini.
Beberapa kali menjalani rutin rawatan yang sama, tubuh Lia mula menerima kesan sampingan. Badannya terasa panas, cepat letih dan lembik.
Dia juga hilang selera makan sehingga berat badannya turun mendadak daripada 43 kilogram (kg) kepada 20 kg saja. Ada masanya tekak saya membengkak hingga menyebabkan leher membesar melebihi dagu.
“Walaupun tidak mampu menjamah makanan, saya kerap muntahkan cairan hijau yang rasanya sangat pahit.
“Bayangkan kalau saya terpaksa menjalani prosedur yang sama untuk tempoh dua tahun,” katanya yang kini masih mendapatkan rawatan susulan enam bulan sekali di HSA.
Pernah putus asa dan lebih rela mati daripada terus hidup, semangat dan sokongan daripada keluarganya mengembalikan kekuatan untuk dia terus hidup.
“Mereka juga percaya saya mampu melalui semua rawatan ini.
“Lama-kelamaan, timbul kesedaran dalam diri saya. Mengapa saya perlu menyerah kalah sedangkan ayah dan ibu telah berkorban segala-galanya demi memastikan saya mendapat rawatan terbaik.
“Sejak itu, saya kuatkan semangat untuk melawan penyakit ini dan sangat berharap untuk kembali sihat seperti manusia lain,” ujarnya yang menolak untuk menjalani rawatan pemindahan sum-sum tulang kerana tidak mahu kakaknya mendapat risiko sakit seperti dirinya.
Bercerita mengenai penyakit leukemia yang Lia hadapi sama seperti menceritakan putaran roda kehidupan keluarganya.
Bukan sahaja leukemia, Lia juga tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas tiga jarinya terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin tebu.
“Semasa berumur lapan tahun, saya menolong ayah yang berniaga air tebu. Secara tidak sengaja, saya tergelincir dan berpaut pada mesin tebu tersebut.
Mesin tebu
“Tanpa saya sedari, jari telunjuk, hantu dan manis tersepit dan turut dimesin. Akibatnya, tulang ketiga-tiga jari itu hancur dan perlu dipotong untuk mengelak daripada terus membusuk.
“Selepas saya mendapat leukemia, ayah berhenti berniaga dan sama-sama menjaga saya di hospital bersama ibu.
“Pengorbanan ayah bukan setakat itu. Memandangkan kos rawatan leukemia yang sangat tinggi, ayah sanggup jual tanah dan kebun.
“Sekarang ayah menyara kami sekeluarga dengan mengambil upah sebagai buruh kasar manakala ibu pula tidak bekerja,” katanya yang pernah mengemukakan permohonan untuk meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak pernah dilayan.
Melihat kesusahan yang terpaksa dilalui keluarganya, Lia tekad untuk terus sihat dan maju dalam pelajarannya.
“Saya tidak mahu jadikan kekurangan ini sebagai halangan untuk saya berjaya dan membalas pengorbanan ayah dan ibu,” azamnya yang ingin menjadi seorang kaunselor satu hari nanti. - Kosmo
No comments:
Post a Comment