22 March 2011

Rakan anak dicari


KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor yang dilaporkan hilang sejak 14 Mac lalu ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat di sebuah pangsapuri di Taman Medan Baru, Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Bapa mangsa, Wong Kim Sai, 55, berkata, dia tidak berputus asa untuk mencari anaknya, Wong Fook Oon, 40, yang tidak pernah gagal untuk pulang ke rumah dan pada malam 17 Mac itu, dia keluar mencarinya sehingga ke awal pagi.

Menurutnya, ketika itu, dia turut membawa kunci pendua kereta anaknya dan mula mencari sambil menekan bunyi amaran pada kunci kereta itu.

“Saya menemui keretanya pada awal pagi 18 Mac di depan sebuah kedai baik pulih kereta di Jalan Klang Lama dan mendapat maklumat mengenai penemuan mayatnya pula pada hari sama kira-kira jam 3 petang,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.

Katanya, anaknya ditemui dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di sebuah pangsapuri lima tingkat di Blok 4, Taman Medan Baru dan mayatnya sudah kembang serta berbau.

Wong berkata, anaknya dipercayai sudah mati tiga sebelum mendiang ditemui dan mereka dapat mengecam mayatnya berdasarkan tatu pada lengan kiri mangsa dan rantai leher yang dihadiahkan adiknya.

“Saya tidak pernah putus harapan untuk mencarinya dan tidak menyangka mendiang akan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan lelaki warga asing yang berada bersama dengan anak pada malam kejadian itu masih hilang.

“Saya berharap lelaki berkenaan ditahan dalam masa terdekat bagi merungkai misteri kematian anak saya,” katanya.

Sementara itu, kekasih mangsa, Foon Li Jin hanya mampu menangis dan tidak ingin mengulas lanjut mengenai kematian kekasihnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan kekasih mangsa apabila lelaki itu hilang selepas makan bersama seorang pekerja kontrak warga Bangladesh.

Dalam satu sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA, Khamis lalu, Foon, 24, berkata, Wong melamarnya hujung tahun lalu dan mereka bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada September tahun ini.

Pada hari sama, mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui sekumpulan penduduk dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di sebuah pangsapuri lima tingkat di Blok 4, Taman Medan Baru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, polis menerima panggilan daripada penduduk yang mendakwa terhidu bau busuk sebelum menjumpai mayat di tingkat empat blok berkenaan.

Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 12.30 tengah hari tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat yang hanya berseluar panjang dan kemeja-T.

Siasatan awal gagal mengesan punca kematian mangsa kerana keadaan mayat yang sudah berbau dan kembang dipercayai mati tiga hari sebelum itu. - Mymetro

* Malaysia aman?

No comments:

Post a Comment